Gerakan Pulangkan Najib sasar 1 juta tandatangan

IPOH – Gerakan Pulangkan Najib menyasarkan sejuta tandatangan untuk petisyen bagi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyelaras Sekretariat Gerakan Pulangkan Najib, Muhammad Farhan Khairuddin berkata, setakat ini gerakan tersebut sudah berjaya mengumpulkan 120,000 tandatangan secara fizikal sejak ia dimulakan dua minggu lalu.

Menurutnya, petisyen itu dilaksanakan bagi meminta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Baginda menggunakan kuasa pengampunan terhadap Najib Razak.

“Dalam tempoh seminggu dua ini kita akan fikirkan cara untuk speed up lagi bagi mendapatkan tandatangan dan kita juga telah menggerakkan sukarelawan untuk membantu. Selepas Perak, gerakan ini akan diperluasakan ke Johor, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kita buat pertemuan secara fizikal kerana kita hendak mendengar sendiri daripada rakyat apa tanggapan mereka terhadap Datuk Seri Najib Razak serta meminta mereka untuk menandatangani petisyen dan memang ada keperluan mendesak sekarang.

“Ini kerana orang sudah semakin faham soal ketidakadilan proses kehakiman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Dialog Bersama Rakyat Pulangkan Najib di Dewan Bulan Sabit Merah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R S Thanenthiran dan Aktivis Politik, Datuk Hamidah Osman.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah sukarelawan gerakan tersebut yang berdaftar secara online mencecah lebih 200 orang.

Katanya, sukarelawan terbabit banyak membantu dalam menyebarkan risalah serta petisyen kepada individu.

“Sehubungan itu, kita nak menjemput anak muda di luar sana untuk mengikuti gerakan ini dengan mengikuti kita di akaun media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook serta menjadi sukarelawan.

“Kita akan membantu sukarelawan terlibat jika mereka memerlukan apa-apa bahan sama ada dalam bentuk bahan bacaan atau fakta berkaitan.

“Sehubungan itu, kita berharap rakyat faham gerakan ini diwujudkan bertujuan untuk ‘memulangkan’ Datuk Seri Najib dan sepatutnya menjadi gerakan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak,” jelasnya.

Gerakan ini dilaksanakan susulan sesi townhall ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa’ yang diadakan pada 30 September di Kuala Lumpur. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI