Geran tanah nilai tinggi, simpan untuk warisan anak cucu – Saarani

LUMUT – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menasihatkan penerima geran hak milik yang diberikan kerajaan negeri supaya sentiasa bersyukur dan menghargai pemberian tersebut kerana bukan semua orang berpeluang memiliki tanah.

Menurutnya, pemilikan tanah adalah satu keistimewaan yang bernilai tinggi dan perlu dijaga sebaiknya demi manfaat jangka panjang kepada pemilik serta generasi akan datang.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya tidak menjual, menggadai atau membiarkan tanah tersebut terlepas kepada pihak lain kerana ia merupakan amanah yang perlu dipelihara.

“Bukan senang untuk dapat tanah. Ramai lagi orang yang tak dapat (tanah). Kita yang dapat hari ini syukur, jaga, imarahkannya kalau mahu buat rumah, buat rumah.

“Sebab itu kita yang dapat tanah perlu jaga tanah itu, jangan jual, jangan gadai jangan terlepas ke lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Bagi Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Sungai Tiram, Mukim Lekir dan RPT Sungai Batu, Mukim Pengkalan Baharu di Dewan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung, dekat sini pada Isnin.

Geran tanah nilai tinggi, simpan untuk warisan anak cucu - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyerahkan geran hakmilik kepada penerima pada Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Bagi RPT Sungai Tiram, Mukim Lekir dan RPT Sungai Batu, Mukim Pengkalan Baharu di Dewan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JANUARI 2026.

Hadir sama, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.

Tambah Saarani, geran tanah mempunyai nilai yang sangat besar dan perlu disimpan dengan baik sebagai warisan kepada anak cucu, selain menjadi bukti kepada perjuangan yang telah lama diperjuangkan.

RPT Sungai Tiram di Mukim Lekir melibatkan keluasan kira-kira 18.89 hektar, manakala RPT Sungai Batu di Mukim Pengkalan Baharu melibatkan keluasan kira-kira 7.98 hektar

Kedua-dua kawasan ini dirancang sebagai penempatan kediaman yang tersusun bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Secara keseluruhan, penyerahan geran pada hari ini melibatkan 31 hak milik bagi RPT Sungai Tiram dan 66 hak milik bagi RPT Sungai Batu menjadikan jumlah keseluruhan seramai 97 penerima.

Setiap lot yang diserahkan berkeluasan antara 4,000 hingga 6,000 kaki persegi, membolehkan pembinaan kediaman yang selesa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘Bukan mudah nak dapat, tak wajar jual tanah’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI