DISAAT golongan muda bekerja di bawah penghawa dingin dengan suasana yang selesa Mohamad Zainul Hilmi Mohamad Wajdi memilih sebaliknya.
Graduan Psikologi, Upper Iowa University Amerika Syarikat itu, lebih selesa menacari rezeki di ladang ternakan ayam belanda miliknya iaitu Santing Agri Farm di Kampung Lalang, Padang Rengas.
Meskipun pekerjaan yang diusahakannya jauh dari apa yang dipelajari, Zainul Hilmi berkata, dia lebih selesa menceburi bidang ternakan ekoran minatnya membela haiwan sejak kecil disamping dapat menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian pada 2018 dia mengambil alih tanah pertanian yang diusahakan orang tuanya untuk mengusahakan ternakan ayam belanda.
“Selepas tamat belajar saya tidak mempunyai pekerjaan dan saya tidak berminat kerja dengan orang jadi saya ambil keputusan menyambung apa yang diusahakan keluarga iaitu bertani.
“Tetapi saya kurang berminat ke arah pertanian jadi saya memilih bidang penternakan. Maka pada Ogos 2018 saya memulakan ternakan ayam belanda pertama,” katanya.
Lihat peluang ternak ayam belanda ekoran bekalan tempatan kurang
Ditanya mengapa memilih ayam belanda sebagai ternakan, Zainul Hilmi berkata, ia bermula apabila bertemu dengan salah seorang penternak yang memaklumkan bekalan ayam belanda dalam negara tidak mencukupi terutamanya semasa perayaan Deepavali dan Krismas.

Katanya, dia juga dimaklumkan bahawa ketika itu import ayam belanda dihentikan ekoran masalah selsema burung dan pasaran negara bergantung kepada pengeluaran tempatan yang tidak banyak.
“Jadi dari situ saya melihat peluang yang ada dan mula dengan menternak sekitar 80 ekor ayam belanda terlebih dahulu memandangkan ketika itu saya tiada sebarang pengetahuan mengenai ternakan ini.
“Saya bermula dari kosong namun sedikit demi sedikit saya menimba ilmu dengan bertanya kepada orang lama dan mencari ilmu mengenai ternakan ayam belanda sehingga ke Thailand.
“Alhamdulillah hanya dengan bermula satu reban dan 80 ekor ayam kini reban saya bertambah dan boleh menempatkan sehingga 2,000 ekor ayam belanda pada satu masa,” katanya.
Zainul Hilimi turut berkongsi perancangannya untuk menambah jenis haiwan ternakan di ladang miliknya, Santing Agri Farm dalam mengembagkan perniagaan serta menyokong keterjaminan makanan negara.
“Selain menternak ayam belanda sekarang saya ada membela lembu dan biri-biri dalam skala kecil tetapi saya dalam perancangan untuk menambah ternakan dua haiwan ini.

“InsyaAllah untuk 2026 kita akan mulakan dahulu dengan projek biri-biri memandangkan kami sudah menerima permintaan daging ternakan ini,” katanya.
Produk ayam belanda bumiputera pertama masuk pasar raya
Berkongsi penjagaan ayam belanda, Zainul Hilmi berkata, ternakan berkenaan memerlukan penjagaan lebih teliti berbanding ayam kampung dan jika tidak kadar kematiannya lebih tinggi.
“Ayam belanda amatlah manja terutamanya pada usia tiga bulan ke bawah jadi penjagaannya perlu lebih teliti berbanding membela ayam kampung dan ayam lain-lain.
“Ada satu masa di mana saya tiada ilmu ketika itu, banyak ayam belanda yang saya ternak mati dan bila mempelajari penjagaannya barulah kita dapat kurangkan jumlah kematian ayam ini,” katanya.
Katanya, dia juga turut mengasingkan ayam belanda jantan dan betina selain memastikan keadaan kandang yang sejuk semasa musim panas.
Ditanya mengenai pasaran ayam belanda beliau berkata, buat masa ini ayam belanda yang diternaknya dijual kepada pekilang dan peraih-peraih tempatan
Menurut Zainul Hilmi ayam belanda yang diternaknya bukan sahaja dijual kepada golongan berkenaan malah kini berjaya memasuki pasar raya.

“Kalau pemintaan ayam belanda ini biasanya orang akan cari pada musim raya seperti Deepavali, Krismas dan Hari Raya.
“Untuk pasaraya pula Alhamdulillah ini tahun pertama produk ayam belanda kami memasuki pasar raya dan ini merupakan satu-satunya keluaran bumiputera yang berjaya menembusi pasar raya,” katanya.
Mahu jadi salah satu syarikat utama industri ternakan ayam belanda
Zainul Hilmi turut menasihati golongan muda yang menceburi bidang pertanian dan penternakan agar bermula dari skala kecil dan menimba pengetahuan pada masa yang sama sebelum mengembangkan perniagaan.
“Nasihat saya kepada anak muda supaya mula dari skala kecil dan kemudian masa sama belajar apa yang kita kurang dalam negara dan diri sendiri.

“Dari situ kita akan belajar untuk berkembang dan InsyaAllah keterjaminan makanan negara itu akan terjamin bila anak muda menceburi bidang pertanian dan penternakan,” katanya.
Ditanya mengenai harapannya, Zainul Hilmi berkata, beliau menyasarkan untuk menjadi salah satu pemain industri utama dalam ternakan ayam belanda dalam negara dan mampu menembusi pasaran luar negara.
“Saya mahu orang mengatakan bahawa Malaysia juga ada ayam belanda dan bukan hanya negara lain sahaja yang ada.
“saya menaruh harapan agar kita tidak lagi bergantung dengan bekalan ayam belanda dari luar negara satu hari nanti,” katanya. -MG Perak


