IPOH – Taktik sindiket penyelewengan diesel menggunakan bengkel kereta sebagai lokasi menyimpan diesel di sebuah stor haram di Anjung Tawas Sinaran, di sini, berjaya dibongkar pihak berkuasa.
Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi membeli minyak pada harga murah sekitar RM2 seliter daripada pemandu lori syarikat yang membenarkan diesel disedut dari tangki asal lori sebelum dijual kepada pemain industri lain.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan penguat kuasa KPDN Perak itu turut menemui 5,000 liter cecair disyaki minyak diesel di premis tersebut.
Menurut beliau, serbuan dilakukan sekitar jam 1.10 tengah hari pada Selasa itu merupakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh Penguat Kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Ipoh.
“Seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun yang mengaku sebagai pemilik bengkel didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak
diesel sebanyak 5,000 liter, 24 tong drum, 11 tong jerrycan, pam minyak dan telefon
bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM19,363.94,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
“Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan di bawah Peraturan 9 (2) (b) Peraturan –
Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ke atas syarikat pembekal barang kawalan minyak diesel ini kerana disyaki telah menjual atau membekalkan barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.
Kamalludin berkata, KPDN memberi amaran dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.
“KPDN akan terus melaksankan aktiviti penguatkuasaan melalui Inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan.
“Ia termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel tanpa permit