IPOH – Kejayaan lima nod industri berimpak tinggi di Perak bukan sekadar bergantung kepada jumlah pelaburan yang berjaya ditarik, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan negeri menyediakan tenaga kerja tempatan berkemahiran sepadan dengan keperluan industri.
Jika tidak lima projek berkenaan iaitu Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP) dan Taman Teknologi Lembah Perak (SVTP) di Kinta bakal berhadapan cabaran pada masa akan datang.
Ini kerana, kesemua projek itu dijangka memperkukuh ekosistem perindustrian negeri dalam tempoh akan datang, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang yang memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional yang semakin khusus.
Bak kata pepatah ‘meluntur buluh biarlah dari rebungnya dan dalam konteks ini peranan guru amat penting kerana mereka merupakan antara individu paling awal dalam mengenal pasti kecenderungan, bakat dan kekuatan seseorang murid sebelum mereka memilih laluan pendidikan serta kerjaya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di dalam ucapan beliau sering menegaskan pendidikan anak-anak tidak sekadar berorientasikan pencapaian peperiksaan ekoran dunia pekerjaan sedang berubah dengan pantas susulan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, sebahagian pekerjaan sedia ada mungkin berubah manakala pekerjaan baharu pula akan muncul dengan keperluan pengetahuan dan kemahiran berbeza.
Katanya, sehubungan itu pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai salah satu laluan utama untuk membentuk tenaga kerja masa hadapan, bukannya pilihan kedua selepas laluan akademik.
Saarani turut menekankan bahawa usaha itu perlu bermula lebih awal, iaitu apabila seseorang anak mula mengenali minat, kebolehan dan kekuatan dirinya.
Berdasarkan ungkapan Menteri Besar Perak itu sudah cukup jelas bahawa di sinilah peranan guru dan ibu bapa dalam membantu murid mengenal pasti potensi masing-masing tanpa terlalu awal melabel mereka berdasarkan kelemahan akademik semata-mata.
Ini kerana tidak semua murid mempunyai kecenderungan yang sama dan ada yang lebih menyerlah dalam bidang akademik, manakala sebahagian yang lain mempunyai kelebihan apabila diberikan peluang menggunakan kemahiran tangan, teknologi, automotif, kejuruteraan, pertanian dan bidang teknikal lain.
Pendekatan mengenal pasti bakat sejak bangku sekolah itu penting kerana keperluan tenaga kerja bagi lima nod industri Perak bukan lagi bersifat umum sebaliknya semakin menjurus kepada kemahiran khusus mengikut kluster industri masing-masing.
Sebagai contoh, AHTV di Tanjung Malim sedang berkembang sebagai hab automotif generasi baharu, termasuk pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Bagi LuMIC pula, pembangunan industri maritim dan logistik memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan kejuruteraan, pelabuhan, logistik dan perkhidmatan sokongan.
KIGIP pula membawa dimensi berbeza dengan penekanan terhadap industri hijau serta sektor elektrik dan elektronik (E&E), manakala SVTP berkait rapat dengan perkembangan teknologi dan industri bernilai tinggi.
Perak HIP pula melengkapkan rangkaian tersebut melalui pembangunan industri halal dan aktiviti pemprosesan serta rantaian bekalan berkaitan.
Justeru, terdapat keperluan untuk memastikan apa yang dipelajari di sekolah mempunyai kesinambungan dengan keperluan industri yang sedang berkembang di negeri ini.

Kerajaan negeri juga sudah mengambil langkah ke arah itu menerusi penubuhan Majlis TVET Negeri Perak bagi merancang dan menyelaras usaha memperkasakan ekosistem TVET supaya penawaran tenaga mahir sentiasa relevan dengan keperluan industri.
Namun, usaha menyelaraskan institusi TVET dengan industri sahaja tidak memadai jika minat murid terhadap bidang kemahiran tidak dibentuk lebih awal.
Sebab itu, guru menjadi penghubung penting antara potensi murid dengan peluang kerjaya yang bakal diwujudkan menerusi lima nod industri berkenaan.
Murid bukan sahaja perlu diberitahu bahawa TVET menawarkan peluang pekerjaan, tetapi perlu didedahkan kepada gambaran sebenar kerjaya, kemahiran yang diperlukan serta laluan pendidikan yang boleh membawa mereka ke sektor berkenaan.
Ini menunjukkan bahawa pembangunan tenaga mahir tidak boleh dimulakan apabila seseorang pelajar sudah tamat sekolah atau memasuki institusi TVET semata-mata sebaliknya, asasnya perlu dibentuk lebih awal melalui proses mengenal pasti minat, membina keyakinan dan memperkenalkan murid kepada dunia pekerjaan sebenar.
Dalam masa sama, guru juga perlu diberikan pendedahan secukupnya mengenai perubahan industri supaya mereka mampu memberikan panduan kerjaya yang relevan kepada murid.

Jika guru mengetahui bahawa industri di negeri sendiri sedang bergerak ke arah automotif pintar, EV, teknologi hijau, semikonduktor, maritim, logistik dan pembuatan bernilai tinggi, mereka boleh membantu murid melihat hubungan antara minat mereka dengan peluang pekerjaan yang bakal tersedia.
Perkara ini penting bagi memastikan pembangunan industri Perak tidak akhirnya hanya membuka peluang kepada tenaga kerja dari luar, sedangkan anak tempatan tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.
Justeru, kejayaan AHTV, LuMIC, KIGIP, Perak HIP dan SVTP kelak bukan hanya terletak pada kemajuan fizikal kawasan industri atau nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk, tetapi sejauh mana anak-anak Perak sendiri bersedia untuk mengambil peluang yang bakal terbuka.
Dalam hal ini, guru berada di barisan paling hadapan untuk memastikan bakat itu dikenal pasti, dibimbing dan akhirnya disalurkan kepada laluan TVET yang tepat.
Jika usaha itu dilaksanakan secara konsisten, pembangunan lima nod industri berkenaan bukan sahaja mampu mengubah landskap ekonomi Perak, malah berpotensi melahirkan satu generasi baharu tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan masa depan.
Kejayaan Perak Sejahtera 2030 akhirnya bukan hanya diukur melalui berapa banyak kilang, taman industri atau pelaburan yang berjaya diwujudkan, tetapi sejauh mana rakyat Perak mempunyai kemahiran untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan tersebut.


