Hadiah Ramadan, Nazril syukur diami kediaman baru

GERIK – Tiada ungkapan yang dapat dilafaz melainkan syukur tatkala keluarga bapa kepada lima anak menerima kediaman baharu di bawah skim bantuan bina rumah baru Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Nazril Azizan, 35, berkata, ia dapat disifatkan sebagai hadiah pada Bulan Ramadan apabila dia, bersama ibunya, isteri, dan anak-anak yang berusia setahun hingga 10 tahun itu, akhirnya dapat berteduh di rumah lebih selesa yang terletak tidak jauh dari rumah asalnya.

Katanya, rumah keluarga yang didiaminya di Kampung Air Musang, dekat sini, sebelum ini terjejas apabila berhadapan dengan situasi hakisan tebing anak sungai yang berada di belakang rumah.

rumah baru gerik rumah bina baru asnaf perak gerik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak MAIPk
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Nazril Azizan (kanan) pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan MAIPk Bersama Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi, di Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

“Rumah lama itu dibina dengan struktur separuh kayu dan simen, dan ekoran hakisan tebing anak sungai itu, ia menyebabkan dinding dan siling rumah mengalami keretakan yang amat teruk.

“Antara masalah yang kami hadapi di rumah itu adalah bumbung kerap mengalami kebocoran, lantai yang retak serta tiang di dalam rumah semakin senget. Malah ada keretakan pada dinding setebal dua inci.

“Disebabkan itu, sudah sekian lama kami lapan beranak tidak tidur di dalam bilik, sebaliknya hanya tidur di ruang tamu kerana bimbang keselamatan masing-masing,” katanya.

rumah baru gerik rumah bina baru asnaf perak gerik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak MAIPk
Keadaan luar rumah lama keluarga Nazril Azizan yang berhadapan masalah ekoran hakisan tebing anak sungai di Kampung Air Musang, Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

Dia berkata demikian ketika ditemui MG Perak pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan MAIPk Bersama Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi, di Gerik.

Hadir sama, Pengurus Unit Pembangunan Asnaf MAIPk, Noraizad Rosli serta Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Fadzlil Mohd Salleh.

Dalam program berkenaan, Nazril antara dua penerima di bawah skim bantuan bina rumah melibatkan dana zakat berjumlah RM122,400.

Selain menyantuni, MAIPk turut menyerahkan kotak makananan dan sumbangan tunai kepada keluarga Nazril.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyantuni ibu kepada Nazril, Zainab Saad (dua dari kiri) pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan MAIPk Bersama Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi, di Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

Dalam pada itu, Nazril mengakui, dia tidak pernah terfikir untuk memiliki sebuah kediaman baharu kerana berhadapan dengan masalah kekangan kewangan.

Katanya, pendapatan bulanan hasil menukang perabot kayu yang tidak menentu menyebabkan dia dan keluarganya membuat keputusan untuk terus tinggal di rumah lama sebelum ini meskipun ia semakin uzur.

rumah baru gerik rumah bina baru asnaf perak gerik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak MAIPk
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyantuni ibu kepada Nazril, Zainab Saad (kiri) pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan MAIPk Bersama Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi, di Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

“Sebelum ini, tiap kali sebelum tidur, saya akan terfikirkan keselamatan anak-anak. Saya fikir bagaimana kalau struktur rumah itu runtuh tatkala kami semua sedang nyenyak tidur.

“Kini, Alhamdulillah, saya tidak perlu bimbang akan keselamatan kami sekeluarga. Saya berasa lebih selamat apabila mendiami rumah baharu ini” katanya lagi.

Tambah Nazril, masalah yang dihadapinya itu mendapat perhatian MAIPk selepas badan berkanun negeri itu membuat penilaian dan memutuskan keluarganya harus dipindahkan ke rumah baru segera.

Komitmen MAIPk

Pada masa sama, Noraizad berkata, MAIPk memperuntukkan kira-kira RM6 juta bagi sasaran baik pulih sekitar 250 rumah asnaf seluruh Perak, setiap tahun.

Selain itu kata beliau, MAIPk juga meletakkan sasaran pembinaan 80 ke 100 rumah baru asnaf dengan menggunakan dana zakat berjumlah RM9 juta, sepanjang tahun ini.

Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi meninjau perkarangan rumah baru keluarga Nazrin Azizan pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID
Orang Besar Jajahan Hulu Perak Datuk Ar LA Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi meninjau rumah baru keluarga Nazrin Azizan pada Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Gerik. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

Jelas Noraizad, usaha pembinaan rumah baru itu merupakan komitmen MAIPk di bawah teras pembangunan sosial, dalam memastikan setiap ahli keluarga mendapat penempatan selesa dan selamat.

“Antara kriteria yang diambil kira untuk program bina rumah baru ini adalah, pemohon asnaf itu harus mempunyai pemilikan tanah sama ada atas nama sendiri, isteri, atau waris terdekat.

“Namun kita faham, golongan asnaf agak bermasalah dalam soal pemilikan tanah ini. Justeru itu, kami ada proses tertentu (atas budi bicara) dalam memastikan masalah itu dapat diselesaikan,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Saya kuat demi anak-anak’ – Ibu tunggal cekal diami pondok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI