IPOH – Seramai 8,977 ketua isi rumah (KIR) di Perak berjaya dikeluarkan dari kepompong kemiskinan tegar setakat 2 Disember tahun ini, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Menurut Salbiah, usaha kerajaan negeri menoktahkan kemiskinan tegar disumbang oleh kerjasama sinergi yang telah digerakkan melalui ‘Task Force Gerak Kerja Pembasmian Kemiskinan Tegar Negeri Perak’.
Jelas beliau, gerak kerja tersebut dibentuk melalui penglibatan semua agensi pemberi bantuan bersama pentadbiran daerah seluruh Perak serta pelaksanaan Inisiatif One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial yang menghimpunkan semua agensi yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan.
“Bagi Negeri Perak, pendapatan per kapita semasa bagi Miskin Tegar ialah RM312 bagi bandar dan luar bandar, manakala kategori Miskin ialah RM708 di bandar dan RM623 di luar bandar.
“Usaha-usaha pihak Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan trend yang positif di mana sehingga 2 Disember 2024, seramai 8,977 KIR berjaya dikeluarkan dari kepompong kemiskinan tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu berkata, sebanyak sembilan daerah berjaya melaksanakan prorahm OSC Sejahtera Sosial setakat 1 Disember 2024, manakala dua daerah lagi iaitu Kampar dan Batang Padang dijangka selesai pertengahan bulan ini.
“Saya juga ingin tegaskan di dewan yang mulia ini, bahawa inisiatif ini digerakkan bagi menyantuni rakyat miskin tegar tanpa mengira kaum, agama dan pandangan politik.
“Bukan itu sahaja, kebanyakan daerah yang menjalankan program ini turut menjemput Yang Berhormat di daerah tersebut. Sebagai contoh yang Hadir YB Alor Pungsu, YB Manong dan YB Chandan pun antara yang saya ingat hadir sama,” katanya.
Tambah beliau, data kemiskinan bersifat dinamik yang mana jumlahnya boleh bertambah dan berkurang dari semasa ke semasa.
“Oleh yang demikian, setakat 2 Disember 2024, terdapat 53 KIR berstatus Miskin Tegar di negeri Perak yang perlu dinoktahkan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: