IPOH – Semua pengusaha dan pentadbir institusi pendidikan agama di Perak diminta mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada 1,006 institusi pendidikan agama yang berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), hanya 85 atau 8.4 peratus mempunyai KM.
Katanya, ia merangkumi pelbagai institusi seperti tadika Islam, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), pondok, pusat tahfiz serta Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).
“Di mana sahaja bangunan pendidikan agama ini dibangunkan, ia perlu memiliki KM sebagai jaminan keselamatan kepada pelajar dan penghuni.
“Premis juga harus dilengkapi sistem pendawaian dan pengudaraan yang baik bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.
Saarani menegaskan, masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan, justeru semua pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh dan agensi teknikal disaran duduk semeja bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
Beliau menambah, dalam jangka panjang kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar pembangunan institusi pendidikan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan pengukuhan institusi sosial sebagai salah satu keutamaan di bawah teras sejahtera sosial.
“Kerajaan negeri tidak pernah berniat menyekat pertumbuhan institusi pendidikan agama di Perak.
“Namun, pembangunan yang tidak mengikut prosedur sehingga boleh mengundang risiko besar kepada pelajar dan penghuni institusi perlu dikawal,” jelasnya.
Saarani turut mendedahkan terdapat institusi yang dibina secara tidak sah di kawasan terpencil, seperti di pinggir hutan atau kebun.
“Mereka mula dengan mendirikan empat tiang, kemudian menambah binaan sedikit demi sedikit apabila pelajar semakin ramai. Akhirnya, aspek keselamatan terabai.
“Lebih membimbangkan apabila sistem pendawaian dilakukan oleh pihak tidak bertauliah sehingga menyebabkan insiden kebakaran dan sebagainya,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: