IPOH – Hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai hab pelancongan kesihatan bukan sesuatu perkara mustahil, sebaliknya ia kini berada pada landasan tepat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesungguhan pihak swasta yang giat membangunkan hospital di negeri ini dengan menawarkan perkhidmatan bertaraf antarabangsa khususnya di Ipoh menjadi pemangkin utama kepada usaha tersebut.
“Diharapkan hasrat Ipoh untuk muncul sebagai bandar raya kesihatan menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan sepenuhnya, sekaligus memperkukuh imej Perak di mata dunia.
“Saya percaya dengan pelaburan berterusan dalam infrastruktur kesihatan dan sokongan strategik daripada pelbagai pihak, Perak boleh menjadi salah satu destinasi pelancongan kesihatan utama di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-120 Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di Hotel Kinta Riverfront, dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud serta Presiden The Perak Chinese Maternity Association, Datuk Lee Hau Hian.
Dalam pada itu Saarani berkata, data mengunjurkan Asia-Pasifik menguasai 75 peratus pasaran pelancongan kesihatan global pada tahun 2021, dan dan negara-negara ASEAN telah menjana Dollar Amerika Syarikat (USD) 13.1 bilion dalam sektor itu pada tahun lalu.
Kata beliau, melalui strategi pemasaran yang tepat dan peningkatan dalam kualiti perkhidmatan, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama dalam pelancongan kesihatan global.
Justeru Saarani berkata, Perak sememangnya mempunyai potensi besar untuk merancakkan lagi sektor berkenaan yang disokong dengan kemudahan hospital swasta sedia ada termasuk PCSH sendiri, Hospital Fatimah, Hospital Pakar KPJ Ipoh, dan Hospital Pantai.
“Selain itu, hospital-hospital swasta yang beroperasi di Manjung, Taiping, dan Teluk Intan turut menyumbang kepada keupayaan Perak dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti.
“Ia juga mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai destinasi utama bagi pelancongan kesihatan di Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut Saarani memberitahu, bagi memperkukuhkan lagi hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandar raya kesihatan, beberapa pembangunan baru pusat perubatan swasta sedang giat dijalankan.
Jelas beliau, Hospital Seri Botani telah memulakan operasi pada Mac tahun ini dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang moden serta berkualiti.
“Selain itu, sebuah lagi hospital swasta baru, iaitu Sunway Medical Center, kini dalam peringkat akhir fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan.
“Pembangunan hospital-hospital ini jelas memperlihatkan komitmen dan kesungguhan Ipoh dalam memenuhi permintaan pelancong kesihatan, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” kata beliau lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: