Perak hasrat jadi hab pelancongan kesihatan menjelang 2025

IPOH – Perak berhasrat menjadi hab kepada industri pelancongan kesihatan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar dalam bidang berkenaan menjelang 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini sebanyak tujuh hospital swasta telah beroperasi di Ipoh dan tiga lagi hospital swasta baru dijangka siap dan beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Susulan pertambahan jumlah hospital swasta yang menawarkan kepakaran dalam beberapa bidang khusus yang ada di negeri ini, hasrat Perak untuk menjadikan negeri ini sebagai hab pelancongan kesihatan bukanlah suatu yang mustahil.

“Dalam hubungan itu, Perak sudah berada di landasan yang betul berikutan kesungguhan dan keupayaan yang ditawarkan hospital-hospital swasta yang ada di negeri Perak khususnya Ipoh,” katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar pada majlis perasmian Pusat Strok dan Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC) di KPJ Ipoh Specialist Hospital. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2023

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Strok dan mesin Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC) di Hospital Pakar KPJ Ipoh, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan serta Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

Di samping itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk menambah baik sistem perkhidmatan penerbangan sedia ada agar ia dapat menampung keperluan sektor pelancongan kesihatan terutama dari Indonesia.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad melihat demonstrasi rawatan pesakit strok pada majlis perasmian Pusat Strok dan Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC) di KPJ Ipoh Specialist Hospital. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2023

“Ada yang kata kena bangunkan hospital dahulu, baru ada syarikat yang berminat hendak tambah penerbangan di sini, dan ada yang kata sebaliknya.

“Jadi saya yakin apabila bertambah bilangan pesakit khususnya yang datang dari Indonesia ke sini, maka secara tidak langsung lebih banyak syarikat penerbangan yang berminat untuk membawa lebih banyak pesawat ke sini.

“Ia secara tidak langsung akan membawa keuntungan kepada kerajaan negeri baik daripada segi kesihatan pelancongan, mahupun Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang menjadi lebih meriah,” ujarnya lagi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad melihat mesin Elekta Versa HD untuk rawatan pesakit kanser pada majlis perasmian Pusat Strok dan Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC) di KPJ Ipoh Specialist Hospital. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OKTOBER 2023

Sementara itu, mengulas tentang progtam Keat Chyuan berkata KPJ LINAC merupakan mesin yang dilengkapi dengan teknologi sistem pemecut linear untuk menyediakan rawatan yang selamat serta mampu merawat pesakit strok and kanser.

Katanya antara ciri-ciri terkini mesin LINAC itu adalah katil robotik 6D, ‘Surface Guided Catalyst HD’, serta Sistem Maklumat Monaco dan Onkologi atau ‘Mosaiq’. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI