Lebih 119,000 individu di Perak ikuti NHSI sehingga Oktober 2023

TRONOH – Seramai 119,002 individu berumur 18 tahun dan ke atas di Perak telah mengikuti Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula Januari sehingga Oktober tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A Sivanesan berkata, jumlah berkenaan melepasi sasaran yang ditetapkan KKM bagi Negeri Perak untuk tahun 2023 iaitu seramai 113,000 individu yang menjalankan NHSI.

“NHSI dilaksanakan oleh KKM bermula dari Julai 2022 bagi menggalakkan masyarakat menjalani saringan kesihatan dan pada 2023 KKM mensasarkan sebanyak 113,000 individu berumur 18 tahun dan keatas di negeri Perak untuk menjalani aktiviti saringan ini.

“Sehingga 26 Oktober 2023, sejumlah 98,158 individu telah disaring melalui platform MySejahtera dan 20,844 melalui platform PekaB40 dimana keseluruhan mereka yang telah disaring adalah berjumlah 119,002 individu, melebihi sasaran yang digariskan oleh kementerian.

“Tahniah diucapkan kepada semua anggota yang telah bertungkus lumus dan komited dalam menjalankan tanggugjawab ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Hari Diabetes Sedunia Negeri Perak Tahun 2023, di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut Sivanesan berkata, berdasarkan data dari aplikasi MySejahtera, seramai 47,842 atau separuh daripada mereka yang disaring berada pada tahap pra-penyakit, iaitu mempunyai julat bacaan saringan yang berisiko untuk mendapat penyakit tidak berjangkit kronik jika tiada intervensi awal dijalankan.

Ujar beliau, melihat kepada data yang membimbangkan itu, KKM menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk tampil memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran.

“Selain itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dilakukan terutamanya apabila umur semakin meningkat dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes atau mempunyai faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit lain.

“Kerajaan melalui KKM akan terus memainkan peranannya dalam memberi kesedaran kepada orang ramai, mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit dan gaya hidup sihat, serta menyediakan kemudahan rawatan bagi penyakit- penyakit tersebut selaras dengan tema Sambutan Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini iaitu Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Kenali Risiko Anda, Bertindak Sekarang,” katanya.

Sivanesan berkata, namun yang demikian, para pesakit juga perlu berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan perlu berusaha mencapai sasaran kawalan diabetes yang baik bagi mengurangkan atau mengelakkan risiko kejadian komplikasi akibat diabetes seperti yang telah saya sebutkan awal tadi.

“Selain dari memakan ubat atau menggunakan insulin serta mengikut nasihat doktor, semua penghidap diabetes perlu mempelajari dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sesuai mengikut tahap penyakit yang dihadapi serta mengamalkan aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

“Tanggungjawab melindungi kesihatan diri kita dan keluarga sebenarnya terletak di tangan kita sendiri. Sedarlah dan bertindaklah sekarang, untuk menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak hasrat jadi hab pelancongan kesihatan menjelang 2025

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI