KAMPAR – Kesempitan hidup dan tiada dokumentasi lengkap adalah antara faktor masih terdapat rakyat di Perak yang tercicir untuk mendapatkan sijil kelahiran serta MyKad.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, mereka yang terdiri daripada keluarga susah ini lebih cenderung untuk mencari rezeki dan ada dalam kalangan mereka tidak tahu proses pendaftaran bagi mendapatkan dokumen tersebut.
“Pada pendapat saya faktor keluarga, peribadi dan ada yang tidak tahu proses pendaftaran dokumen berkenaan.
“Bagi keluarga susah mereka merasakan itu adalah perkara kedua kerana mereka lebih fokus kepada mencari rezeki namun saya tidak mahu terus membuat kesimpulan sebab kita faham kesukaran yang dialami.
“Ada juga yang datang ke pusat khidmat saya dengan tiada warganegara serta adalam kalangan mereka yang kahwin di luar negara dan tidak berdaftar ini pun banyak di dalam Perak.
“Jadi kita mohon supaya masyarakat supaya untuk bekerjasama jika terdapat kes sedemikian untuk tampil dan kita akan membantu menerusi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) Perak supaya mereka dapat mendaftar bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri itu,“ katanya.
Sementara itu, Pengarah JPN Perak, Asuat Ahmad berkata, secara umumnya isu tiada kad pengenalan adalah perkara yang sering berbangkit di JPN.
Menurutnya, JPN sentiasa komited dalam menyelesaikan isu tersebut terutamanya dari segi dokumentasi.
“Kadang-kadang masyarakat atau keluarga tiada dokumentasi lengkap untuk membuktikan berlakunya kelahiran di Malaysia. Kalau tiada dokumentasi agak sukar untuk kita keluarkan sijil kelahiran dan bertambah susah untuk mereka membuat kad pengenalan.
“Isu dokumen ini menyebabkan perkara tersebut berlaku selain isu keluarga, masalah sosial antara faktor yang menyumbang kepada keluarga untuk tidak mempunyai dokumen tersebut.
“JPN akan sentiasa membantu dan cuba memininumkan isu tersebut dan penambahbaikan sering dilakukan dari semasa ke semasa,“ jelasnya.
Beliau turut menguar-uarkan supaya orang ramai memanfaatkan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang memudahkan rakyat khususnya di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan JPN.
Terdahulu, Mohd Azlan dan Asuat menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga beradik iaitu Nur Ashikin Hariandi, 21, Muhammad Harudin, 23, dan Mohamad Haikal, 10, di rumah mereka di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, di sini, pada Selasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga beradik terima sijil kelahiran, seorang bakal berkahwin hujung tahun ini