TRONOH – Ibadah korban bukan sahaja mengeratkan ukhwah malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong royong dalam kalangan umat Islam ketika melaksanakannya.
Setiausaha Masjid Ar-Rahmaniah, Ismail Md. Yunus berkata, penyertaan melibatkan ahli kariah berkenaan turut disertai penduduk luar dari Tronoh.
“Program tahunan yang diadakan di sini berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam terutamanya penduduk di kariah ini.
“Ramai penduduk di kariah ini dan anak-anak perantau yang pulang ke kampung dari pelbagai latar belakang baik golongan muda dan berusia turut serta di dalam gotong-royong Ibadah korban ini.

“Program ibadah korban di sini melibatkan penyembelihan, melapah, memasak serta pengagihan daging korban,” katanya ketika ditemui di sini.
Sempena Aildiladha pada tahun ini, masjid tersebut menganjur dan melaksanakan ibadah korban dengan 14 ekor lembu sado.
Sementara itu, Ismail turut berkongsi bahawa Masjid Ar-Rahmaniah juga sedang giat mengumpul dana bagi menaik taraf beberapa kemudahan.
Sehubungan itu, beliau mempelawa orang ramai yang berkemampuan untuk berwakaf.
Orang ramai yang ingin berwakaf boleh menyalurkan sumbangan melalui Bank Islam atas nama Tabung Pembinaan Masjid Baharu Ar-Rahmaniah Tronoh dengan nombor akaun 08086022100812. -MG Perak



