Ikhlas tanpa imbuhan, PWPP raih pengiktirafan

LEBIH sedekad bergerak secara sukarela membantu masyarakat, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) membuktikan bermula dengan usaha kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu memberi impak besar kepada komuniti.

Pengiktirafan itu hadir apabila pertubuhan berkenaan menerima Anugerah Badan Bukan Kerajaan (NGO) sempena Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak 1448H/2026M yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan kepada segala penat lelah yang ditaburkan malah turut menjadi suntikan semangat kepada kira-kira 50 ahlinya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat dan negeri.

Pengerusi PWPP, Norzita Rabaai berkata, anugerah diterima bukan sahaja sebuah penghargaan terhadap pertubuhan itu, malah menjadi pengiktirafan kepada seluruh sukarelawan yang selama ini menggerakkan pelbagai program kemasyarakatan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

Beliau menyifatkannya sebagai satu amanah dan penghargaan yang dikongsi bersama seluruh pasukannya, khususnya ahli PPWP yang selama ini memberikan komitmen secara sukarela.

Menurut beliau, PWPP yang ditubuhkan pada 15 September 2015 merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang menghimpunkan individu yang mempunyai minat terhadap aktiviti kesukarelawanan, kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah Badan Bukan Kerajaan (NGO) kepada Pertubuhan Wanita Prihatin Perak pada sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Objektif kami lebih kepada membantu masyarakat, kebajikan sosial, memperkasakan ekonomi wanita serta menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Walaupun ahli kami tidak ramai, kami memilih mereka yang benar-benar berminat dan mempunyai komitmen untuk menjalankan kerja-kerja sukarela,” katanya.

Katanya lagi, kesemua ahli PPWP bergerak atas dasar kesukarelawanan dan tidak menerima gaji atau sebarang bayaran daripada pertubuhan itu.

“Alhamdulillah saya dan pasukan amat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan kejayaan ini adalah bantuan daripada ahli-ahli yang sangat komited.

“Mereka ini 100 peratus sukarelawan. Tiada seorang pun antara kami yang mendapat gaji atau apa-apa bayaran dalam NGO ini. Kami bergerak atas sifat ikhlas dan minat terhadap kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya.

Bilik sensori bantu kanak-kanak autisme di sekolah

Norzita berkata, lebih membanggakan, antara usaha yang meninggalkan impak besar sepanjang tempoh lebih 10 tahun penubuhan PWPP adalah inisiatif membantu menyediakan kemudahan terapi untuk kanak-kanak autisme di beberapa buah sekolah di daerah Kinta.

Katanya, PWPP sebelum ini berjaya mengumpulkan dana bagi membina tiga bilik sensori untuk kegunaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), masing-masing dua di Kinta Utara dan satu di Kinta Selatan.

“Antara perkara yang kami lihat mempunyai impak besar ialah usaha membantu masyarakat autisme, khususnya kanak-kanak autisme.

“Kami mengambil pendekatan untuk membantu kerajaan dari segi penyediaan infrastruktur yang boleh digunakan oleh kanak-kanak ini,” katanya.

Norzita berkata, penyediaan bilik sensori berkenaan dilihat penting memandangkan keperluan terhadap kemudahan sokongan untuk kanak-kanak autisme dan murid yang mempunyai masalah pembelajaran semakin meningkat.

Menurutnya, PWPP bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan murid serta sekolah terbabit.

“Segala perkara yang kami sumbangkan adalah berdasarkan apa yang disyorkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

“Bilik itu merupakan ruang terapi supaya murid yang mempunyai masalah pembelajaran boleh menjalani terapi di sekolah dalam tempoh mereka berada di sekolah,” katanya.

NGO bukan sekadar sampai bantuan tetapi rakan strategik kerajaan

Bagi Norzita, pendekatan berkenaan menunjukkan peranan NGO bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk kebajikan, sebaliknya boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam menangani keperluan masyarakat.

Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan, NGO dan masyarakat amat penting kerana terdapat banyak keperluan di peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian secara berterusan dan menyeluruh.

Dalam konteks itu, katanya, NGO seperti PWPP boleh memainkan peranan sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan dengan mengenal pasti keperluan sebenar komuniti dan membantu melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung.

“Sebagai NGO, kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan yang terlibat kerana banyak perkara boleh dilakukan secara bersama untuk membangunkan masyarakat.

“Kerjasama yang baik antara NGO dan kerajaan akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Peranan itu juga dilihat selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan masyarakat secara menyeluruh, termasuk aspek kesejahteraan sosial, pembangunan modal insan, keterangkuman serta pengupayaan komuniti.

Mahu lebih ramai sukarelawan tampil sumbang tenaga

Norzita turut berharap anugerah yang diberikan kepada PWPP mampu menjadi pencetus kepada lebih ramai anggota masyarakat, khususnya wanita, untuk tampil menyumbang tenaga dalam aktiviti kesukarelawanan.

Katanya, PWPP juga mengalu-alukan penyertaan masyarakat luar yang mempunyai minat sama untuk bersama-sama memperkukuhkan gerakan sukarelawan, sekali gus memperluaskan manfaat kepada golongan yang memerlukan.

“Kami sememangnya menggalakkan lebih ramai penyertaan daripada masyarakat luar yang berminat dengan kerja-kerja sukarela untuk menyertai kami.

“Satu pasukan yang baik amat penting untuk membangunkan masyarakat kita dan membantu kerajaan,” katanya.

Norzita berkata, PPWP selepas ini akan terus memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan pembangunan masyarakat, selain mencari ruang untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan.

Katanya, anugerah yang diterima bukan noktah kepada perjuangan PPWP, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk pertubuhan itu terus bergerak dengan pendekatan kesukarelawanan yang berteraskan keikhlasan.

“”nugerah ini memberi dorongan kepada kami untuk terus melakukan yang terbaik. Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak supaya usaha yang dilakukan dapat memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Walaupun hanya mempunyai kira-kira 50 ahli, PPWP membuktikan bahawa kekuatan sesebuah NGO bukan terletak pada jumlah keahlian, tetapi pada kesungguhan mereka yang berada di dalamnya.

Lebih sedekad bergerak secara sukarela, pertubuhan itu terus menyalurkan tenaga dan sumber untuk membantu masyarakat, termasuk menyediakan kemudahan yang memberi manfaat kepada kanak-kanak autisme.

Dalam usaha merealisasikan aspirasi Perak Sejahtera 2030, peranan NGO seperti PWPP penting dalam melengkapkan usaha kerajaan Negeri Perak membangunkan masyarakat.

Kerjasama antara kerajaan, NGO dan komuniti dapat membantu memastikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi diberi perhatian, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan sejahtera. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI