Ikut jejak ayah, dorong dua beradik teroka ladang sayur

SELEPAS tujuh tahun berkecimpung di sektor perbankan, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 41, mengambil keputusan meninggalkan bidang tersebut dan menceburkan diri dalam dunia pertanian yang pada ketika itu amat asing baginya.

Dia yang mengakui tiada asas dalam bidang pertanian sewaktu pulang ke kampung halamannya di Sungai Siput telah bergabung tenaga dengan adiknya, Khairul Faeiz Ahmad Sani, 33, mengusahakan tanaman jagung sekitar 2012.

Bagaimanapun, minat mendalam dan keinginan untuk meneruskan legasi ayahnya yang juga seorang petani mendorong Hayadi Anusr menempuh cabaran baharu itu.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Ladang pertanian milik dua beradik, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 42, dan Khairul Faiez Ahmad Sani, 34, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Transformasi kerjaya Hayadi Anuar menjadi bukti bahawa minat dan dorongan keluarga mampu mencetuskan perubahan besar dalam kehidupan seseorang, meskipun bidang yang diceburi amat berbeza daripada pengalaman asal.

“Ayah dulu tanam ubi kayu sekitar tahun 1995 hingga 1997 dan dari situ saya terinspirasi walaupun tiada asas dalam bidang ini.

“Tetapi, adik saya yang pernah belajar dalam bidang pertanian banyak membantu mendapatkan maklumat serta teknik asas pengurusan tanaman,“ katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di ladang mereka di Kampung Lasah, Sungai Siput, baru-baru ini.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Timun tua yang sedia untuk dituai di ladang pertanian milik dua beradik, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 42, dan Khairul Faiez Ahmad Sani, 34, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Mula tanam jagung manis pada 2012

Dalam pada itu, Khairul Faeiz berkata, mereka mula menanam jagung manis secara kecil-kecilan di hadapan rumah 13 tahun lalu dan kini menanam sayur-sayuran di tanah seluas 4.45 hektar secara konsisten bagi menjana pendapatan yang lebih stabil.

“Selepas tamat pengajian di Institut Pertanian, saya bersama abang terus mula bercucuk tanam dan pada 2015 kami mula tanam sayur secara konsisten kerana tempoh masa yang diambil (untuk peroleh hasil) lebih singkat,” ujarnya.

Mengimbas penglibatan awalnya dalam penanaman jagung, dia berkata, kebun jagung seluas 0.4 hektar (satu ekar) mampu menghasilkan antara 6,000 hingga 12,000 tongkol jagung gred A dalam tempoh 65 hari semusim dan ia diusahakan sebanyak empat kali setahun.

“Kita tak cerita pasal tanaman itu jadi tak jadi lagi. Ini kita kira tanaman secara berjadual sahaja.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Usahawan tani, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 42, menunjukkan peria yang ditanam di ladangnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Bagaimanapun, pada penghujung 2013, kami mula beralih kepada tanaman sayur berjadual seperti timun tua, peria, peria besar, timun hijau, petola dan kacang panjang kerana pendapatan yang diperoleh lebih konsisten.

“Contoh kalau macam tanaman di sini sudah akhir musim, tanah yang ada sekarang akan pelau dan rotor untuk persediaan tanaman musim baharu. Kita akan habiskan tuai dan tanam semula, macam itulah kitarannya,” jelasnya.

Khairul Faeiz turut menjelaskan, setiap jenis tanaman mempunyai hasil berbeza mengikut musim dan keluasan tanah.

Tambahnya, ladang mereka menggunakan sistem konvensional tanah digabungkan dengan sistem pengairan fertigasi bagi memastikan tanaman mendapat nutrien yang mencukupi.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Cili hijau yang sedia untuk dituai di ladang pertanian milik dua beradik, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 42, dan Khairul Faiez Ahmad Sani, 34, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Pasar sayur sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang

Dari segi pemasaran, dia berkata, jika kuantiti hasil banyak, mereka akan memasarkannya ke Lembah Klang, Pulau Pinang dan Singapura.

“Kalau kuantiti sayur banyak, kita pasarkan ke Lembah Kelang seperti di Selayang atau Klang, Pasar Borong Seri Kembangan atau Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Namun, kalau hasil sedikit, kami akan pasarkan di pasaran tempatan seperti di Sungai Siput, Chemor, Ipoh dan ada yang dihantar ke Singapura dibantu wakil, Cameron Highland jika ada pesanan,” katanya.

Harga pasaran, cuaca antara cabaran perlu ditempuhi

Bagaimanapun, beliau mengakui harga pasaran yang tidak menentu merupakan cabaran utama dalam bidang pertanian.

“Cabaran paling besar dia dari segi kestabilan harga yang tidak menentu. Selain itu, serangan perosak dan penyakit serta ketidaktentuan cuaca turut menjadi antara cabaran yang perlu ditangani dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Cuaca juga turut memberi impak terhadap pertanian. Kadang-kadang musim hujan, kadang-kadang musim panas berpanjangan. Tiba-tiba panas, tiba-tiba hujan pun ada,“ ujarnya.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Pekerja ladang menyembur racun serangga bagi memastikan tanaman terpelihara daripada ancaman perosak ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Terpilih menjadi usahawan RPKP di Sungai Siput

Dalam perkembangan sama, Hayadi Anuar berkata, mereka menerima pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan sepanjang bergiat dalam sektor pertanian, termasuk peralatan seperti enjin dan khemah daripada Jabatan Pertanian serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Dia turut terpilih sebagai usahawan pemasar di bawah program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi daerah Kuala Kangsar.

Sementara itu, dia dan adiknya turut merancang untuk memperluaskan hasil tanaman dengan penanaman kelapa pada masa akan datang memandangkan permintaan terhadap hasil tersebut semakin meningkat.

“InsyaAllah pada masa depan akan perluaskan tanaman kelapa kerana banyak permintaan dan kelapa tidak mencukupi. Ini boleh bantu untuk menampung keperluan,” ujarnya.

Minat bertani, warisan ayah dorong dua beradik usaha ladang sayur
Hasil tanaman timun di ladang pertanian milik dua beradik, Hayadi Anuar Ahmad Sani, 42, dan Khairul Faiez Ahmad Sani, 34, ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lasah, Sungai Siput. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Sementara itu, Hayadi mengajak anak muda untuk bersama-sama menceburi bidang pertanian, malah bersedia membantu mereka yang berminat.

“Sepanjang 13 tahun menceburi bidang ini, banyak cabaran yang memerlukan kesabaran dan ketekunan untuk terus bertahan,“ katanya yang pernah meraih Anugerah Kebun Terbaik pada tahun 2017.

Usaha dua beradik itu secara tidak langsung menyumbang kepada matlamat sekuriti makanan negeri ini di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

77.6 peratus pegangan pertanian di Perak milik Bumiputera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI