IPOH – Selepas pelbagai siri kejayaan penganjurannya sebelum ini, Simposium Muzik Ipoh (IMS) 2023 kembali dengan mengangkat tema budaya seni melalui muzik pop tanah air pada era 70an dan 80an di sini, selama tiga hari bermula Jumaat.
Agensi kreatif Kerajaan Perak, People of Remarkable Talents (PORT) dalam satu kenyataan berkata simposium muzik tahunan yang memasuki siri kelima penganjuran mengangkat terma ‘Muzik Pop Malaysia 1975-1985: Meraikan Kepelbagaian’ sebagai tema.
Menurutnya, IMS 2023 yang akan berlangsung di Dewan Kampar, Hotel Travelodge pada Sabtu dan Ahad ini bakal menghimpunkan 18 pembentang yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni tanah air.
“Barisan pembentang dengan latar belakang yang berbeza ini akan merungkai topik-topik berkemaam wacana serta isu-isu seputar muzik pop pada era 70-an dan 80-an khususnya pada tahun 1975-1985.
“Antara mereka yang terlibat adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Raja Iskandar Raja Halid; Pensyarah Kanan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya (UM), Dr Adil Johan, Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Shazlin Amir Hamzah; Penulis Lirik, Hairul Anuar Harun, serta Pensyarah Senior Fakulti Pengajian Melayu UM, Shafa’atussara Silahudin.
“Ucaptama simposium akan disampaikan oleh tokoh seniman muzik negara, Tan Sri Dr. Ahmad Khan Nawab Khan atau lebih dikenali sebagai Datuk Ahmad Nawab pada Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, sesi perkongsian, forum dan bengkel yang berlangsung pada Jumaat dan Ahad di lokasi sama turut diisi dengan pelbagai acara termasuk forum istimewa yang menampilkan Datuk Hashim Said atau S. Atan, Datuk Habsah Hassan dan Datuk Freddie Fernandez.
Sementara itu, menurut kenyataan PORT, Pameran ‘Muzik Pop Malaysia 1975-1985’ yang mengetengahkan pelbagai barangan antaranya piring hitam, pakaian, majalah dan sebagainya berlangsung di Dewan Kampar 2, Hotel Travelodge, bermula pada 7 sehingga 12 Oktober ini.
Di samping itu, tambahnya IMS2023 turut menyajikan persembahan konsert yang akan menampilkan kumpulan dan penyanyi terkenal tanah air antaranya Francissca Peter, Atai, Headwind, Alleycats dan Blues Gang di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada Sabtu, jam 8.30 malam.
“Program ini akan turut dimeriahkan oleh kolektif 70’s Revival yang akan memperagakan pakaian dari era tersebut.
“Untuk mengikuti program, orang ramai perlu mendaftar melalui borang pendaftaran di pautan yang disediakan di laman sosial Port Ipoh. Kesemua program adalah percuma kecuali caj yuran komitmen (akan dipulangkan sewaktu pendaftaran pada hari program) yang dikenakan untuk beberapa program seperti bengkel dan konsert,” kata kenyataan itu lagi. – MG Perak.