Disebalik Nama Politeknik Ungku Omar Di Ipoh

Politeknik Ungku Omar terletak di Jalan Raja Musa Mahadi yamg mana dahulunya dikenali sebagai Jalan Diary di Ipoh, Perak. Politeknik Ungku Omar ditubuhkan pada tahun 1969 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO dengan peruntukan sebanyak RM24.5 juta.

Pada asalnya, kampus Politeknik Ungku Omar terletak di kawasan Ampang, Ipoh dan pada penghujung tahun 1973, Politeknik Ungku Omar telah berpindah dari Pusat Latihan Harian ke kampus kekalnya dan telah dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Menteri Pendidikan pada masa itu iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Hussein.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Politeknik Ungku Omar diambil sempena nama Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad kerana demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan sains dan perubatan.

Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor Bahru, Johor dan mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kluang di Kluang, Johor. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajarannya ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang terletak di Kuala Kangsar.

Disebalik Nama Politeknik Ungku Omar Di Ipoh

Apabila tamat pengajian menengah, Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad menerusnya pengajian beliau di Universiti Malaya yang terletak di Singapura dan berjaya memperoleh ijazah kedoktoran pada tahun 1957.

Akhirnya, beliau terus melanjutkan pelajaran dan berjaya mendapatkan diploma dalam bidang Pathologi di Royal College of Physician London dan di Royal College of Surgeon, England pada tahun 1962.

Apa yang membanggakan selepas dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1964, Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad telah dianugerahkan sebagai Fellowship of Royal Pathology dan juga telah berjaya mendapat ijazah kedoktoran di bidang Clinical Chemistry dari Universiti London.

Mungkin generasi kita pada hari ini ramai yang tidak kenal siapakah sebenarnya Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad. Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, beliau sebenarnya adalah seorang yang prolifik (banyak menghasilkan karya) dengan menghasilkan 40 kertas kerja dalam bidang perubatan.

Dengan memegang prinsip “kesihatan itulah kemajuan” dan “tak sihat manakan maju” seringkali beliau tegaskan apabila beliau gigih memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam perubatan negara.

Jangan anda tidak tahu, antara sumbangan besar beliau yang lain adalah Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad individu yang punyai peranan besar dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mana hari ini adalah merupakan antara universiti terkemuka di negera kita.

Genius Melayu, inilah gelaran yang diberi kepada Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad oleh masyarakat kita pada zaman kegemilangannya kerana jasa Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad amat besar dalam dunia sains, perubatan dan pendidikan negara.

Tidak cukup dengan itu, Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad juga adalah anak Melayu pertama yang menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan sejak tahun 1965.

Beliau juga seringkali mewakili Malaysia dalam persidangan perubatan antarabangsa dan memberi sumbangan dalam bentuk ceramah dan pidato umum di Australia, Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina, China dan Singapura.

Pada 15 Februari 1969 yang mana dalam usia Allahyarham Dato Profesor Ungku Omar Ahmad baru mencecah 38 tahun, beliau telah meninggal dunia kerana kena serangan jantung sewaktu beliau berada di rumahnya. Benarlah kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI