IPOH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak yang mempersoalkan usaha kerajaan dalam pelaksanaan program pembangunan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Katanya, walaupun kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada rakyat, namun ia tidak seharusnya menjadi penghalang buat Malaysia untuk menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza yang tertindas.
“Ada satu dua pemimpin lama kata bahawa sekolah kita pun tidak selesai, ini pula hendak menolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana?
“Kita tolong orang kampung lain, dan orang boleh kata kampung kamu pun belum selesai. Tetapi dalam Islam dia tidak pernah fikir begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.
Tambah Anwar, kemusnahan dan kesusahan yang dihadapi penduduk di Gaza disifatkan sebagai kesengsaraan yang jarang berlaku dalam mana-mana sejarah kehidupan manusia kini.
“Sejak perang dunia kedua sampai sekarang inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam, umat manusia, Hancur lebur negerinya, terus dihina, tidak beri pengiktirafan sama sekali, anak kecil, wanita, sekolah habis dimusnahkan.
“Dan apabila kita hendak tolong sedikit (penduduk di Gaza) apa jawapan mereka (yang mempersoalkan tindakan kerajaan) selesaikan masalah (dalam negara).
“Saudara, sampai kiamat pun masalah-masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang-kurangnya, tetapi kita lakukan sedikit (demi sedikit demi kebaikan semua),” jelas beliau.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, ucapan itu dipercayai sebagai mengulas berkenaan kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berhubung keputusan kerajaan hendak menjalankan rancangan pembangunan semula Gaza.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dilaporkan berkata, pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan berkenaan, di samping mengesyorkan agar beberapa perkara perlu diambil kira terlebih dahulu.
Anwar pada Rabu mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza di Palestin.
Perdana Menteri menerusi satu ucapan khas memaklumkan usaha itu turut melibatkan usaha bersama Kerajaan Jepun untuk menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bangunkan Semula Gaza: Malaysia Mula Dengan Bina Sekolah, Hospital Dan Masjid – PM Anwar