IPOH – Institut Madina telah mengenal pasti cadangan untuk membuka sebuah kampus baru di negara ini, dan untuk itu Perak dipilih sebagai lokasi sesuai.
Dalam satu kenyataan, Yayasan Perak memaklumkan institusi pengajian antarabangsa itu menyatakan minat untuk menjalinkan usahasama dengan Badan Berkanun Negeri bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
Katanya, Yayasan Perak melalui pengurus besar, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan menyambut baik cadangan Institut Madina untuk membuka cawangan di Perak.
“Kami sangat teruja dengan manfaat yang bakal diperolehi oleh rakyat Malaysia. Ini adalah peluang yang hebat untuk meningkatkan program pendidikan Islam dan memupuk kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Institut Madina mempunyai kampus sedia ada di Afrika Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, dan Norway.
Tambahnya, kampus baharu ini dijangka akan membuka peluang baru untuk pendidikan Islam di Malaysia dan meningkatkan kedudukan negara sebagai pusat penting dalam pengajian Islam.
“Institut Madina yang terkenal di peringkat global dengan reputasinya yang cemerlang dalam pengajian Islam, berhasrat untuk membawa program akademik terkemuka mereka ke Malaysia.
“Kurikulum mereka merangkumi pelbagai mata pelajaran, dari pengajian al-Quran dan Hadis hingga kepada fiqh Islam dan kerohanian,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Pemegang Amanah Institut Madina di Afrika Selatan, Mahmood Khatib, berkata, pihaknya menyifatkan Perak adalah lokasi ideal untuk pembukaan kampus baru kerana persekitaran yang kondusif untuk pendidikan.
“Kami percaya bahawa penubuhan kampus di Malaysia akan meningkatkan akses kepada pendidikan Islam berkualiti tinggi dan mengukuhkan komuniti dengan prinsip-prinsip Islam,” ujarnya. – MG Perak.
Artikel Berkaitan:
Yayasan Perak tetapkan kriteria NGO bagi pengagihan kotak makanan