Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan

BANDAR Hatyai, Thailand sering menjadi destinasi kegemaran pelancong terutamanya bagi penduduk yang tinggal di utara Semenanjung Malaysia kerana lokasinya yang strategik dan mesra bajet.

Akses masuk ke bandar tersebut juga mudah sama ada memandu kenderaan sendiri, menaiki bas, kereta api atau kapal terbang.

Di samping itu, bandar terbesar yang terletak di Selatan negara gajah putih itu cukup terkenal sebagai destinasi membeli-belah yang menawarkan harga murah serta menjadi syurga makanan bagi mereka yang ‘kaki makan’.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Khlong Hae Floating Market turut menjadi pilihan pelancong untuk singgah jika bercuti di Hatyai, Thailand.

Antara lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan adalah Khlong Hae Floating Market, Asean Night Bazaar, Kim Yong Market, Masjid Besar Wilayah Songkhla, Hatyai City Municipal Park dan Samila Beach.

Malah, dianggarkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Hatyai sempena cuti persekolahan, Hari Malaysia dan Maulidur Rasul baru-baru ini, seterusnya memberi pulangan sehingga RM100 juta kepada Thailand.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Asean Night Bazaar di Hatyai, Thailand yang menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong untuk membeli belah dengan harga yang amat berpatutan.

Ipoh sasar jadi salah satu lokasi tumpuan pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2026

Baru-baru ini, seramai 39 delegasi mewakili Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Media Perak mengadakan lawatan kerja ke bandar berkenaan diketuai, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan dan Media MBI, Muhammad Hamzah Md Hamdan.

Pada lawatan itu, turut diadakan pertemuan bersama Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat di Hatyai City Municipality (Perbandaran Hatyai) bagi bertukar pandangan Ipoh dan Hatyai khususnya dari sudut infrastruktur, media dan pelancongan.

Muhammad Hamzah berkata, lawatan itu memberi peluang kepada perwakilan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kedua-dua bandar tersebut.

Menurutnya, tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak terhad kepada menyelesaikan masalah sampah, longkang dan rumput tetapi skopnya lebih luas daripada itu.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Muhammad Hamzah Md Hamdan (kanan) bersama Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat (tengah) ketika delegasi Majlis Bandaraya Ipoh dan Media Perak mengadakan lawatan di Hatyai City Municipality (Perbandaran Hatyai) baru-baru ini.

“Lawatan kerja ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan pelancongan Ipoh dan Hatyai.

“Perbandaran Hatyai patut diberi pujian kerana menjadi lokasi yang terkenal dan kami amat berminat untuk mengenalinya dengan lebih lanjut.

“Memandangkan Tahun Melawat Perak 2024 berakhir pada hujung tahun ini, Ipoh menyasarkan untuk meletakkan bandar tersebut sebagai percutian utama bagi pelancong Thailand menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

“Oleh itu, hanya melalui kerjasama dan perkongsian pengalaman antara satu sama lain ini diharap dapat membantu MBI merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata, MBI dan Perbandaran Hatyai masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.

“Justeru, amat penting untuk kita mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak,” jelasnya.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Seramai 39 delegasi mewakili Majlis Bandaraya Ipoh dan Media Perak ketika mengadakan lawatan di Hatyai City Municipality (Perbandaran Hatyai) baru-baru ini.

Hatyai destinasi mesra bajet

Dalam pada itu, Sumrit berkata, Hatyai menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong Malaysia kerana ia menawarkan pelbagai tarikan menarik di samping kos perbelanjaan yang rendah.

Katanya, bandar tersebut turut mesra Muslim kerana terdapat banyak pilihan restoran dan kedai makanan halal.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Khlong Hae Floating Market turut menjadi pilihan pelancong untuk singgah jika bercuti di Hatyai, Thailand.

“Rakyat Thailand juga amat kagum dengan kepelbagaian kaum dan budaya yang ada di Malaysia. Pada masa sama, lokasi tumpuan pelancongan yang ada di Malaysia turut memenuhi kehendak masyarakat Muslim dan bukan Muslim dari negara kami.

“Jadi, menerusi kepelbagaian yang ada di Malaysia rakyat kami memang amat tertarik untuk berkunjung ke sana,” ujarnya.

Cari mekanisme terbaik bangunkan industri pelancongan kedua-dua negara

Sementara itu, sempena lawatan tersebut turut diadakan forum Majlis Muhibbah Media Perak dan Selatan Thailand di BP Grand Tower Hotel, Hatyai.

Forum yang dikendalikan Ketua Biro Perhubungan Luar Persatuan Media Selatan Thailand, Twaedaniya Meringin itu membincangkan peranan media dalam mempamerkan tarikan unik dan memupuk ekosistem pelancongan yang mantap.

Senator Wilayah Songkhla merangkap Presiden Persatuan Media Selatan Thailand, Chaiyong Maneerungsakul berkata, penduduk khususnya di Selatan Thailand antara yang sering melancong ke Malaysia kerana lokasinya yang berhampiran serta demografi kedua-dua negara tidak jauh berbeza.

“Kami sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak berkuasa di Malaysia bagi mencari mekanisme pembangunan industri pelancongan yang memanfaatkan kedua-dua negara,” jelasnya.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Muhammad Hamzah Md Hamdan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Senator Wilayah Songkhla, Chaiyong Maneerungsakul selepas selesai forum Majlis Muhibbah Media Perak dan Selatan Thailand di BP Grand Tower Hotel, Hatyai baru-baru ini.

Hamzah berkata, segala perkara yang dibangkitkan menerusi forum tersebut akan diperhalusi bagi membantu dalam mempromosikan bandar raya Ipoh kepada pelancong Thailand.

Beliau juga mengambil maklum isu peraturan ketat penguat kuasa di sempadan yang dibangkitkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelancong Thailand.

“Kita lihat ramai pelancong Thailand berminat untuk berkunjung ke negara kita. Jadi, kita akan melihat pakej pelancongan yang sesuai untuk ditawarkan kepada mereka serta melakukan penambahbaikan bersesuaian.

Ipoh, Hatyai tukar pandangan untuk pembangunan pelancongan
Kim Yong Market antara destinasi pilihan pelancong untuk singgah jika bercuti di Hatyai, Thailand.

“Mengenai isu peraturan ketat penguat kuasa di sempadan, kita akan majukan perkara itu kepada pihak berkaitan,” katanya.

Menerusi lawatan delegasi MBI dan Media Perak ke Hatyai ini ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan dengan Perbandaran Hatyai serta Persatuan Media Selatan Thailand. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengusaha, ejen bekerjasama rancak pelancongan Lenggong

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI