Istilah Perak bakal jadi negeri menua tidak tepat – Saarani

IPOH – Istilah mengatakan Perak bakal menjadi negeri menua tidak tepat memandangkan pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menarik serta mengekalkan golongan muda untuk menetap di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laporan yang mendakwa Perak bakal menjadi negeri menua adalah berlandaskan kepada jumlah golongan muda keluar dan golongan warga emas yang masuk ke negeri ini.

“Jadi itulah dikatakan Perak akan menjadi negeri menua tetapi saya yakin ia tidak begitu kerana kerajaan negeri sedang membangunkan Perak untuk mengekalkan orang muda.

“Tidak timbul cerita kita negeri menua kerana semua negeri juga ada orang tua dan saya yakin istilah ini tidak tepat sebab kita menyediakan peluang kepada anak-anak muda bekerja di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, isu Perak bakal menjadi negeri menua telah dibangkitkan beliau beberapa kali sebelum ini termasuklah ketika Pelan Perak Sejahtera 2030 dibangunkan melalui kajian yang dilaksanakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Bantuan Kad Perak Sejahtera (KPS) Daerah Kinta di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2025.

Ujar beliau, kajian yang dijalankan semasa membangunkan Pelan Perak Sejahtera 2030 menunjukkan dalam tempoh 10 tahun iaitu 2011 hingga 2020 tidak kurang daripada 110,000 orang muda meninggalkan Perak mencari pekerjaan.

“Sebab itu dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 kita bangunkan negeri kita sebagai negeri perindustrian di mana kita bangunkan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP).

“Tujuannya adalah untuk menarik pelabur membuka kilang yang menawarkan peluang pekerjaan dengan harapan bakat-bakat muda di negeri ini tidak perlu lagi keluar,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Perak diunjur mencapai status negeri menua pada 2030 berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), yang merekodkan sekitar 14.6 peratus daripada penduduk negeri itu telah berusia 60 tahun pada 2023.

Malah, berdasarkan unjuran itu, sekitar 18 peratus daripada populasi Perak berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh lima tahun lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak dijangka capai status negeri menua lebih awal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI