Perak dijangka capai status negeri menua lebih awal

IPOH – Perak dijangka mencapai status negeri menua lebih awal daripada dijangka iaitu menjelang tahun 2030, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Koperasi, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak telah mencatatkan sebanyak 14.6 peratus kependudukan warga yang berumur 60 tahun ke atas setakat ini.

Jelasnya, angka itu dilihat bakal bertambah dan dijangka mencecah 15 peratus sebelum menjelang tahun 2030 sebagaimana yang dijangka kerajaan negeri sebelum ini. 

“Sasaran 15 peratus itu hanya tinggal 0.4 peratus sahaja baki dan tidak menolak kemungkinan pada tahun 20230, mungkin angkanya akan merekodkan sekitar 18 peratus. 

“Oleh sebab itu, kita melihat ekosistem penjagaan warga emas ini mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan dan ini juga sebagai langkah kerajaan negeri dalam menyediakan belanjawan atau dasar-dasar yang mengambil kira aspek penjagaan mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Program Santunan Kasih Perak dan Majlis Penyampaian Sijil Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penjagaan Warga Emas Fasa 2 di UniKL RCMP di sini hari ini.

Pada program berkenaan seramai 170 peserta menjalani latihan penjagaan warga emas secara berperingkat yang diadakan sejak September lepas.

Inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM). – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI