Isu air tercemar: Operasi kuari diarah henti sementara

TAIPING – Kerajaan Negeri Perak menerusi Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) telah mengeluarkan arahan pemberhentian sementara operasi kuari di Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput mengenai sumber air yang tercemar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, arahan tersebut dikeluarkan pada 12 Januari lalu susulan aduan daripada penduduk Orang Asli di kawasan itu.

Menurutnya, operator lantikan juga telah menjalankan kerja-kerja pemulihan (remidi) dengan membantu penduduk kampung yang terjejas menerusi pembinaan tangki air tambahan yang lebih baik supaya mereka mendapat bekalan sumber air bersih.

“Kerja-kerja pembangunan kuari oleh MB Inc telah dimulakan sejak September tahun lalu selepas mendapat semua kelulusan daripada agensi teknikal berkaitan.

“Bagaimanapun, lawatan tapak yang dilakukan wakil MB Inc telah mengenal pasti pencemaran air berpunca dari tapak kuari menerusi pembukaan tanah bagi kolam mendapan di kawasan yang sepatutnya tidak disentuh.

“Selain itu, pelepasan effluent (sisa buangan) daripada tangki septik yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan di dalam kelulusan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA).

“Berikutan itu, arahan pemberhentian sementara operasi kuari kepada syarikat operator terlibat supaya kerja-kerja pemulihan perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping, di sini, pada Sabtu.

Katanya, antara kerja-kerja pemulihan yang dijalankan termasuklah meratakan tanah di kawasan tidak disentuh serta membina ban bagi mengelakkan laluan air mengalir ke kawasan tadahan air.

“Pada masa sama, operator terlibat mendapatkan nasihat daripada perunding lantikan bagi pelaksanaan langkah mitigasi yang sesuai serta kemukakan pindaan cadangan skim kuari untuk kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” jelasnya.

Semalam media melaporkan, lebih 100 penduduk Orang Asli kampung berkenaan terdedah dengan ancaman penyakit apabila sumber air bukit kegunaan harian didakwa tercemar akibat projek kuari berhampiran penempatan mereka.

Penduduk di kawasan itu turut mendakwa mereka terpaksa menggunakan air yang dicemari Najis dan bahan buangan dari tandas milik rumah kongsi pekerja di tapak projek tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 100 peneroka gesa aktiviti perlombongan baharu dihentikan

Tuntutan peneroka haram RM100,000 setiap seekar tanah tidak adil -MB Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI