JAIPk terap teknologi AI, mantap pengurusan hal ehwal Islam

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerapkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam aspek pentadbiran dan perkhidmatan berlandaskan dengan kerangka syariah.

Pengarahnya, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, langkah itu antara inisiatif JAIPk dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, sekaligus memantapkan pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.

“Bayangkan bagaimana Al boleh membantu kita dalam soal pengurusan zakat dan wakaf yang mana ia dapat menganalisis data pembayar zakat serta data asnaf yang lebih tepat.

“Sementara itu, teknologi ini juga dapat memastikan agihan zakat dan aset wakaf sampai kepada mereka yang berhak dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Nadwah Mendepani Cabaran AI Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Royal Perak Golf Club (RPGC), dekat sini pada Khamis.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut disertai wakil agensi-agensi agama dari seluruh negara termasuk tokoh ilmuwan Islam, cendekiawan dan pakar teknologi maklumat.

Mengulas lanjut, Harith Fadzilah berkata, antara pendekatan awal JAIPk dalam menyambut perkembangan teknologi masa kini ialah melalui penerokaan penggunaan chatbot berasaskan AI.

Kata beliau, chatbot yang beroperasi sepanjang masa itu mampu memberi respons pantas kepada pertanyaan awam berhubung isu nikah, cerai, rujuk dan persoalan agama lain.

Harith Fadzilah memberitahu, inisiatif yang digerakkan JAIPk itu secara tidak langsung dapat mengurangkan beban di kaunter jabatan di samping menjimatkan masa pelanggan.

Selain itu ujar beliau, sistem rekod perkahwinan, perceraian, pengurusan data masjid dan kes mahkamah syariah juga boleh ditambah baik melalui automasi AI yang cekap dan telus.

“AI membuka ruang kepada masyarakat memahami trend soalan agama melalui platform pembelajaran agama interaktif, aplikasi mudah alih untuk rujukan fatwa serta sistem kandungan dakwah yang disesuaikan mengikut keperluan kumpulan sasaran berbeza,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penceramah luar dibenarkan mengajar, bersyarah di Perak – JAIPk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI