Penceramah luar dibenarkan mengajar, bersyarah di Perak – JAIPk

IPOH – Semua penganjur serta penceramah luar kini dibenarkan mengajar dan bersyarah  di Perak, tetapi dengan syarat mereka perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim berkata, Garis Panduan Penganjuran dan Syarahan Agama Islam Negeri Perak itu telah mula berkuat kuasa sejak 11 Mac lalu.

Menurutnya, garis panduan itu turut diguna pakai terhadap penganjur serta penceramah yang tidak memiliki Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak tetapi berhasrat menyampaikan syarahan agama di masjid dan surau yang berdaftar di negeri ini.

“Penceramah dan penganjur hendaklah mengisi borang yang ditetapkan yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Perak.

“Kemudian, mereka boleh menghantar permohonan tersebut kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berkenaan tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh syarahan agama itu berlangsung.

“Pegawai Tadbir Agama boleh mendapatkan maklumat tambahan daripada penceramah atau penganjur berhubung penganjuran atau penyampaian syarahan agama, sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Pegawai Tadbir Agama perlu mendapatkan pandangan termasuk apa-apa syor oleh Jawatankuasa Pengawasan Daerah bagi mempertimbangkan permohonan penganjuran atau penyampaian syarahan agama.

“Sekiranya jawatankuasa terbabit mendapati ada keraguan dalam sesuatu permohonan penganjuran atau penyampaian syarahan agama, mereka perlu menasihati Pegawai Tadbir Agama berkenaan keraguan tersebut dan pegawai terbabit perlu merujuk kepada mufti untuk arahan.

“Sekiranya permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama diluluskan, Pegawai Tadbir Agama hendaklah mengeluarkan kebenaran kepada pemohon.

“Penganjuran dan penyampaian syarahan agama hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kebenaran pegawai terbabit.

“Sekiranya permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama tidak diluluskan, pegawai berkenaan hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada pemohon,” jelasnya.

Harith Fadzilah berkata, sebarang bentuk pemalsuan maklumat yang dinyatakan dalam borang atau pelanggaran syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan kebenaran penganjuran dan penyampaian syarahan agama dibatalkan.

Tahun lalu, JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta.

Penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak masih tangguh kebenaran penceramah luar, walau baru terima tauliah

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI