KUANTAN – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, beliau mahu bantu ketengahkan permohonan pengamal media untuk kekalkan kuota khas subsidi minyak Budi Madani RON95 (BUDI95) sebanyak 300 liter.
Tambahnya, perkara itu akan cuba disampaikan kepada pihak Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.
“KPDN ambil berat berkenaan apa yang pengamal media hadapi sebab banyak kena ‘travel’ dan tidak cukup 200 liter kuota.
“Tapi BUDI95 adalah di bawah Kementerian Kewangan (MoF). Jadi, saya akan bawa perkara ini ke MoF,” katanya ketika ditemui selepas Majis Perasmian Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan baharu Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri, di sini hari ini.
Sebelum ini pada April, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 iaitu BUDI95 sepertimana dinikmati sebelum ini.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut memaklumkan bahawa permohonan itu akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan maklumbalas mengenainya akan dimaklumkan semula. – MalaysiaGazette


