Perak perkukuh bantuan pendidikan, lebih RM16 juta untuk mahasiswa

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan bantuan berjumlah RM16.1 juta bagi menyantuni anak-anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Inisiatif itu adalah antara usaha kerajaan negeri di bawah Titik Sentuhan Ketiga: Membuka Jalan Pendidikan Anak Perak, menerusi Sentuhan Perak Sejahtera bagi memastikan setiap anak negeri mendapat peluang pendidikan yang lebih baik tanpa dibebani kekangan kewangan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak RM6.5 juta disediakan bagi Insentif Siswa Dalam Negara dan RM400,000 untuk Insentif Siswa Luar Negara.

Menurutnya, Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa turut menerima peruntukan RM4.2 juta, meningkat RM200,000 berbanding tahun sebelumnya.

“Kerajaan negeri juga menyediakan RM5 juta bagi Pinjaman Pendidikan Tinggi Negeri Perak yang terbuka kepada semua anak Perak yang memenuhi syarat kelayakan, dengan keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menyokong keperluan pendidikan anak-anak Perak sepanjang alam persekolahan, kerajaan negeri turut menyediakan RM2.2 juta bagi Program Back To School yang akan dijenamakan semula sebagai Perak EduCare mulai tahun hadapan.

“Turut disediakan ialah RM1 juta bagi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN), RM1 juta untuk Biasiswa Menteri Besar Perak yang disasarkan memberi manfaat kepada 900 murid serta RM750,000 bagi Bantuan Baucar Buku.

“Peruntukan lain meliputi RM240,000 bagi Bantuan Pelajar Miskin dan Dermasiswa Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) serta RM120,000 untuk Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak,” ujarnya.

Saarani memaklumkan, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar susu, Farm Fresh Berhad menerusi program Perak Fresh, iaitu inisiatif pemberian susu percuma kepada murid di 177 prasekolah terpilih, khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Saarani berkata, tiga inisiatif bantuan makanan diteruskan dengan peruntukan keseluruhan RM7.11 juta bagi memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan pelajar serta mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah terus terbela.

Menurutnya, peruntukan itu merangkumi RM1 juta bagi bantuan yuran makanan tambahan serta pelajar miskin di Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Sebanyak RM2.2 juta juga disediakan bagi Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 yang menawarkan bantuan makanan RM200 sebulan kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah di lima kampus universiti di Perak.

“Baki RM3.91 juta pula diperuntukkan bagi Program Bantuan Makanan Percuma di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) untuk menyediakan makanan kepada calon peperiksaan utama.

“Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk),” katanya. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI