KULAI – Sebanyak RM210 juta diperuntukkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Biasiswa Anak eKasih (BAeK PTPTN) untuk membantu 10,000 pelajar miskin dan miskin tegar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelajar yang terpilih adalah berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mula di berikan pada 1 Januari lalu.
“Penerima ialah mereka yang mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penyerahan BAeK PTPTN kepada dua penerima, di Kulai, Johor hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Johor, Mazni Ruslan.
Zambry memberitahu, jumlah penerima itu meningkat berbanding seramai 5,800 pelajar dengan peruntukan RM120 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2026 pada Oktober lalu.
“Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN ini telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai serta IPTA agar turut memaklumkan kepada PTPTN sekiranya terdapat pelajar daripada golongan berkenaan yang layak menerima manfaat di bawah inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Norliza berkata, setakat 31 Mei lalu, BAeK PTPTN sudah memanfaatkan seramai 402 pelajar di seluruh negara dengan jumlah peruntukan berjumlah RM8.79 juta sejak ia mula diperkenalkan pada tahun ini.

Beliau berkata, biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar tempatan berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan dan kursus diikuti mendaftar dengan PTPTN, mempunyai akaun Simpan SSPN yang aktif, tiada tunggakan pinjaman dan baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan tidak kurang daripada satu semester.
Tambahnya, pelajar akan ditawarkan biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi Diploma dan RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi ljazah Sarjana Muda (Sains).
Menurutnya, permohonan pinjaman PTPTN perlu dibuat melalui aplikasi web myPTPTN dan pinjaman PTPTN akan diluluskan terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar sebelum ditawarkan BAeK PTPTN sekiranya memenuhi syarat kelayakan.

Sementara itu, keluarga pelajar B40 yang menerima biasiswa anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) terharu dan gembira apabila terpilih dan menyifatkannya sebagai satu rezeki yang sudah ditentukan-Nya.
Nor Aini Sabtu, 66, berkata, biasiswa tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarganya lebih-lebih lagi mereka bukan daripada golongan berkemampuan.

Dia berkata, cucunya, Muhammad Amar Kho Arif Khoo, 21, yang menuntut dalam semester pertama jurusan Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka kini boleh menarik nafas lega selepas mendapat biasiswa itu.
“Sebelum ini tidaklah terlalu membebankan cuma kehidupan kami agak perit sedikit kerana nak tanggung seorang anak yang masih belajar. Siapa yang ada anak belajar mesti faham keadaan ini.
“Saya bukan daripada keluarga berada, dapat PTPTN bantu cucu saya amat berterima kasih. Terima kasih juga kepada pegawai yang menguruskannya,” katanya.

Nor Aini berkata, sebelum ini lima anak-anaknya akan membantu kewangan Muhammad Amar untuk segala keperluannya kerana pendapatan bapanya yang bekerja kilang tidak besar.
Katanya, Muhammad Amar yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik sudah tidak memiliki ibu yang meninggal dunia akibat kanser semasa dia berusia 15 tahun.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Alin Nairien Wong Mohd Alif Wong, 20, yang berasal dari Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, turut melahirkan rasa lega dan bersyukur apabila mendapat biasiswa BAeK PTPTN.
Alin yang belajar dalam bidang Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang mengakui biasiswa BAeK PTPTN itu dapat meringankan beban keluarganya.
“Saya sudah tidak perlu susahkan abang atau ibu saya lagi. Abang sulung saya yang bekerja kilang sebelum ini membantu saya setiap bulan dan begitu juga ibu saya yang merupakan ibu tunggal dan kerja menjahit juga membantu saya,” ujarnya.
Menurutnya, selepas ini dia hanya perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Alin Nairien berharap dapat mengubah nasib keluarganya selepas pernah menjalani kehidupan susah sejurus bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 13 tahun.
“Saya anak kedua daripada tiga beradik. Semasa ayah meninggal dunia ketika berada di tingkatan satu, saya dan abang bekerja di kedai makan untuk menampung kehidupan sekeluarga,” katanya.

Ibunya, Sariah Amir, 45, berkata, mereka hidup seadanya selepas arwah suaminya meninggal dunia ketika tidur.
Susulan daripada Sesi Penyerahan BAeK PTPTN di Johor akan diteruskan pada minggu depan dengan melibatkan dua penerima dari Melaka.
– MalaysiaGazette


