KUALA LUMPUR – Susunan tempat duduk Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Jun ini dijangka menjadi antara perkara yang mencuri perhatian, khususnya membabitkan kedudukan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, perubahan yang berlaku dalam kepimpinan pembangkang sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadikan kedudukan Muhyiddin dalam Dewan Rakyat sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Menurutnya, Muhyiddin yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi berada dalam kedudukan tersebut selepas tampuk kepimpinan gabungan itu beralih kepada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Berdasarkan perkembangan politik semasa, kedudukan Muhyiddin di sebelah Ketua Pembangkang mungkin tidak lagi relevan seperti sebelum ini.
“Perubahan kepimpinan dalam PN sudah tentu memberi kesan kepada susunan protokol dan kedudukan tokoh-tokoh utama pembangkang dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam laman sosial beliau.

Azizi berkata, satu lagi faktor yang menarik perhatian adalah dinamika hubungan politik antara Muhyiddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dilihat berubah berikutan perkembangan politik kebelakangan ini.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua pemimpin berkenaan akan terus ditempatkan bersebelahan seperti sebelum ini atau sebaliknya.
“Ramai yang akan memerhatikan sama ada susunan tempat duduk sedia ada dikekalkan ataupun disusun semula bagi mencerminkan realiti politik terkini dalam blok pembangkang,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, antara cadangan yang dilihat menarik adalah menempatkan Muhyiddin berhampiran Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, kedua-dua mereka merupakan bekas Perdana Menteri yang masih aktif di Dewan Rakyat dan susunan sedemikian dilihat lebih selari dengan kedudukan serta status semasa mereka.
“Sebagai dua tokoh yang pernah menerajui negara, kedudukan mereka berdekatan antara satu sama lain boleh dianggap lebih sesuai dari sudut simbolik dan protokol.
“Bagaimanapun, apa juga susunan yang diputuskan nanti pastinya akan diperhatikan kerana ia sering membawa mesej politik tertentu, walaupun sekadar melibatkan kedudukan tempat duduk dalam Dewan,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 22 Jun ini dengan pelbagai isu politik semasa dijangka menjadi tumpuan, termasuk perkembangan terkini dalam blok pembangkang susulan perubahan kepimpinan yang berlaku dalam Perikatan Nasional. -MalaysiaGazette


