Jangan panik pesawat terbang rendah, bunyi letupan – ATM

IPOH – Orang ramai diminta supaya tidak cemas sekiranya melihat pesawat-pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbang rendah atau terdengar bunyi letupan di sekitar Lumut, Manjung dan Sitiawan mulai esok.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut berkata, itu adalah sebahagian daripada latihan sempena sambutan Hari Hari ATM ke-90 yang akan berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut dan Perbarisan Tempur Statik pada Selasa depan.

“Selain itu, Demonstrasi Keupayaan ATM, diikuti dengan Karnival Hari ATM 2023 turut diadakan pada 13 hingga 15 Oktober ini.

“Sewaktu sambutan ini berlangsung terdapat segmen persembahan udara yang melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik ATM disertai demonstrasi melibatkan bahan letupan.

“Sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat tentera akan melaksanakan penerbangan taktikal paras rendah di kawasan tertentu di sekitar Lumut, Manjung dan Sitiawan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kenyataan sama berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas sekiranya melihat pesawat-pesawat ATM terbang rendah atau terdengar bunyi letupan sepanjang tempoh tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir ke karnival tersebut yang akan menyajikan dengan pelbagai pameran, demonstrasi dan aktiviti menarik melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara,” jelasnya. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI