Jangan panik, risiko gempa bumi rendah – Exco

IPOH – Penduduk di sekitar Gerik diminta kekal tenang dan tidak panik susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang direkodkan tengah malam tadi.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, kejadian gempa bumi di kawasan sama pernah direkodkan pada tahun 2013 dan 2016, manakala bagi kawasan Manjung, gempa bumi bermagnitud 2.5 direkodkan pada 2009 pada kedalaman 22.5 kilometer.

Menurutnya, susulan kejadian itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan Projek Sesar Aktif bagi mendapatkan maklumat berkaitan sesar yang berpotensi mengakibatkan gegaran serta aktiviti gempa bumi.

“Projek Sesar Aktif adalah kajian untuk mendapatkan maklumat sesar yang berpotensi mengakibatkanl gegaran serta aktiviti gempa bumi berdasarkan maklumat imej satelit, landsat dan kajian lapangan.

“Pada tahun 2016, fasa pertama projek berkenaan telah dilaksanakan merangkumi pengumpulan maklumat spatial bagi mengenal pasti sesar yang berpotensi aktif di kawasan Temengor dan Manjung.

“Kewujudan sesar ditentukan melalui penafsiran imej satelit, radar dan peta kontur.

“Sesar yang berpotensi aktif ditafsirkan berdasarkan kepada maklumat daripada imej spatial serta data titik epicenter gempa yang dibekalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Sesar yang berpotensi aktif dikelaskan kepada sumber titik, sumber garis atau sumber kawasan.

“Secara umumnya, risiko gempa bumi berlaku di Perak adalah berasaskan kewujudan struktur sesar di kawasan tertentu.

“Bagaimanapun, kebarangkaliannya adalah rendah dan jika berlaku ia berada dalam skala rendah hingga sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Gempa bumi lemah landa Temenggor, Perak

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kajian Sesar Aktif dilakukan yang dilaksanakan bagi mengenal pasti struktur sesar berpotensi menyebabkan gegaran dan aktiviti gempa bumi mendapati kawasan Temengor mempunyai sesar berpotensi aktif yang dikenali sebagai Sesar Banding.

“Setiap segmen Sesar Banding mempunyai kepanjangan antara 2.9 hingga 6.6 kilometer (km) dengan magnitud gempa bumi yang berpotensi dihasilkan antara 3.0 hingga 4.1 Momen Magnitud (Mw).

Katanya, gempa bumi yang berpotensi berlaku juga dikategorikan sebagai cetek dengan magnitud maksimum 4.1 Mw pada kedalaman 1.6 kilometer, manakala magnitud minimum 3.0 Mw pada kedalaman 15.3km.

“Hasil kajian turut merekodkan satu lagi sumber titik di kawasan Temengor berhampiran Empangan Bersia yang mempunyai magnitud 2.8 Mw pada kedalaman 10km,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan melanda kawasan Temenggor di Gerik, Perak pada jam 12.06 tengah malam tadi.

MetMalaysia dilaporkan berkata, gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dengan lokasi pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gempa bumi lemah landa Temenggor, Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI