TAIPING – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan agar pemilik kolam takungan kilang kelapa sawit untuk menghentikan aliran sisa atau enap cemar daripada terus mengalir ke Sungai Petai, di sini secara serta merta.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pihak pemilik kolam berkenaan juga telah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan runtuhan benteng kolam dengan segera selain perlu mengemukakan laporan kepada JAS.
“Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan pada ‘control panel’ sistem pengolahan efluen sawit telah dilakukan bagi menghalang kemasukan efluen sawit ke kolam pelupusan enap cemar.
“Selain itu, rakaman percakapan terhadap pihak premis juga telah dijalankan pada bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Terdahulu media melaporkan, lebih 100 nelayan di Kampung Dew, di sini, mendakwa terjejas pendapatan selepas Sungai Sepetang tercemar dipercayai berpunca daripada kebocoran kolam takungan sisa sebuah kilang kelapa sawit dua minggu lalu.
Kejadian itu dikatakan telah mengakibatkan air sungai bertukar hitam dan berbau busuk sehingga menjejaskan sumber pendapatan nelayan termasuk aktiviti memancing udang galah, serta industri pelancongan berasaskan kelip-kelip.
Wakil MyKP Komuniti Perikanan Kampung Dew merangkap Sahabat Ekologi Perak, Syukur Ishak dilaporkan berkata, keadaan kolam takungan sisa milik sebuah kilang kelapa sawit telah pecah menyebabkan pati sisa berwarna hitam mengalir hingga ke Sungai Sepetang.
Menguluas lanjut Kok Lim berkata, JAS telah menerima maklumat mengenai insiden runtuhan tebing kolam takungan kilang kelapa sawit melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Julai lalu.
Menurut beliau, jabatan itu turut dimaklumkan oleh MyKP Komuniti Perikanan Kampung Dew mengenai kejadian ikan mati di kawasan Jeti Kampung Dew, Sungai Sepetang yang dikaitkan dengan insiden tersebut.
Susulan itu Kok Lim berkata, JAS akan mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pemilik premis tersebut, bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 akta sama.
“Disyorkan juga tindakan penggantungan Lesen Premis Yang Ditetapkan (PYDT) Minyak Sawit Mentah di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977,” tambahnya.
Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan jabatan berkenaan di lokasi mendapati sebanyak 19,000 meter padu (m³) kuantiti pelepasan enam cemar dari kolam dikesan telah memasuki kawasan lombong serta Sungai Petai yang berhampiran.
Kata Kok Lim, limpahan air sisa dikesan telah mengalir ke kawasan lombong yang bertindak sebagai kawasan tadahan sebelum mengalir keluar memasuki Sungai Petai.
“Hasil siasatan pada 6 Julai mendapati berlaku runtuhan tebing yang disyaki berpunca daripada kelemahan struktur benteng kolam berkenaan, namun pihak premis telah menghentikan operasi sebaik sahaja kejadian disedari.
“Pihak premis telah diarahkan untuk membina sekatan sementara untuk menghalang pengaliran keluar air sisa dan enap cemar ke Sungai Petai,” katanya lagi.
Tambah beliau, siasatan lanjut turut dijalankan di lokasi aduan iaitu di di Sungai Sepetang di Kampung Dew dan pemerhatian mendapati terdapat hanya beberapa ekor ikan mati.
Beliau berkata, hasil ujian in-situ di kawasan Jeti Kampung Dew turut merekodkan bacaan kualiti air sungai yang berada pada tahap normal dengan suhu 29.4 darjah Celsius, oksigen terlarut (DO) 5.8 miligram seliter, pH 6.92 dan kekeruhan (NTU) 6.28.
Tambah Kok Lim, pemantauan JAS di lokasi baru-baru ini mendapati struktur kolam pertama berada dalam keadaan baik tanpa sebarang limpahan air sisa atau enap cemar, manakala tindakan pembaikan ketika itu hanya melibatkan isu kebocoran pada benteng kolam pertama. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pencemaran Sungai Perak, JAS kenal pasti tiga aktiviti perlombongan


