BAGAN DATUK – Seorang lelaki dan kanak-kanak berusia dua dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh di Sungai Perak dalam dua kejadian berasingan di Jambatan Sultan Nazrin Shah, di sini, pada Jumaat.
Kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Wong Long Hee dipercayai telah terjatuh dari jambatan berkenaan bersama ibunya, Lim Li Yin, 38 tahun pada sekitar jam 7.15 malam.
Sementara seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar berusia 42 tahun juga dipercayai terjatuh dari lokasi sama pada sekitar jam 11.36 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada pihak polis berkenaan seorang wanita bersama anak lelakinya dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya berjata menemukan wanita berkenaan dalam keadaan terapung pada permukaan sungai, bagaimanapun anak mangsa masih belum dijumpai.
“Mangsa wanita diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh anggota bomba dan dihantar ke untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan ambulan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Walau bagaimanapun, pasukan bomba menerima maklumat bahawa mangsa wanita tersebut telah meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sayani berkata, terdahulu pihaknya turut menerima maklumat berkaitan insiden seorang lelaki terjatuh ke Sungai Perak dari jambatan sama.
Menurut beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati terdapat sebuah motosikal jenis Modenas Z15 GT yang dipercayai milik mangsa berada di bahu jalan atas jambatan tersebut.
“Operasi mencari mangsa menggunakan bot bomba dan APM kemudian dijalankan dengan melibatkan kaedah pencarian pada permukaan sungai pada radius tiga kilometer dari kawasan mangsa dipercayai terjatuh.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba di lokasi pada jam 4.33 petang dan menjalankan pencarian di permukaan air kerana keadaan arus deras tidak membolehkan aktiviti selaman dilakukan,” katanya lagi.
Operasi yang melibatkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang itu kemudian ditangguhkan pada jam 8.20 malam atas faktor cuaca dan keselamatan anggota.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Rozali Uyop itu turut dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) masing-masing dari Teluk Intan dan Bagan Datuk, serta lapan anggota polis dan tujuh dari APM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut terjatuh ketika menjala ikan di tebing kolam miliknya


