PADANG RENGAS – Penganjuran Jelajah Chenderoh Di Hati membantu mengurangkan perbelanjaan dan meringankan beban penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh.
Pegawai Khas Menteri Besar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohamad Ariff Abdul Majid berkata, program yang dirangka sebanyak 17 siri itu dilaksanakan setiap bulan mengikut zon dalam kawasan berkenaan.
Menurut beliau setakat April 2026 sebanyak tujuh siri telah berjaya dijalankan dan baki 10 lagi akan dianjurkan sehingga hujung tahun.

“Untuk pengetahuan semua, setiap bulan saya akan buat program Jelajah Chenderoh Di Hati yang merupakan program di bawah Pejabat Pegawai Khas Menteri Besar, DUN Chenderoh.
“Fokusnya adalah untuk meringankan beban penduduk setempat dan biasanya dalam program itu saya akan bagi sumbangan kotak makanan selain menganjurkan jualan murah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohamad Ariff turut menzahirkan harapan agar penganjuran Jelajah Chenderoh Di Hati membawa impak positif kepada penduduk setempat terutamanya dalam soal ekonomi.

Katanya, bagi meringankan beban dia juga turut menganjurkan jualan yang membantu masyarakat seperti kedai bergeraj Amanjaya dan lain-lain.
“Kebiasaannya kita akan panggil Kedai Bergerak Amanjaya, Kedai Perak Sejahtera dengan memberi diskaun pembelian sehingga 15 peratus kepada penduduk DUN Chenderoh,” katanya. -MG Perak


