Jenazah Hamdan Senario selamat dikebumikan malam tadi

IPOH – Jenazah penyanyi, pelakon dan pelawak, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentas Hamdan Senario selamat disemadikan di sini malam tadi.

Lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, pelakon, peminat dan penduduk hadir di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham termasuklah anggota kumpulan Senario Ilya, Azlee, Lan Pet Pet, Yasin, Saiful Apek dan Wahid.

Selain itu, penerbit filem terbaharu Senario, Rostam Affandi Abdul Rahman dan pelawak Rahim Sepahtu turut dilihat hadir pada pengebumian tersebut.

Jenazah Allahyarham Hamdan, 54, selesai dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira jam 11.50 malam tadi.

Terdahulu, Jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan tiba di Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan sekitar jam 10.18 malam.

Jenazah Allahyarham Hamdan kemudiannya disembahyangkan dengan dihadiri kira-kira 500 jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, pelakon, peminat dan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Allahyarham Hamdan dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 31 Disember lalu dan menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan sekitar jam 12.40 tengah hari pada Jumaat.

Sebelum ini, anggota kumpulan Senario itu terpaksa ditidurkan di HSA selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Menurut anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, bapanya dibawa ke hospital sebelum ini kerana mengalami cirit-birit pada malam Khamis lalu.

Hamdan datang ke Johor berikutan untuk menjayakan acara Wonderful Night with Senario Union pada malam ambang tahun baharu.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudiannya membentuk kumpulan Senario pada tahun 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022, Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Arwah tak pernah lokek dengan senyuman – Jiran

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI