PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan keputusan berkaitan penutupan sekolah dibuat secara lebih tersusun dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan nasihat kesihatan.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata menerusi penyelarasan itu, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah akan ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan PTJK.
“Kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat.
“Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata KPM menyambut baik penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bahawa pengurusan jerebu hendaklah berpandukan PTJK, susulan perbincangan bersama agensi berkaitan.
Pada masa yang sama, Fadhlina berkata beliau memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang negara berdepan situasi jerebu, khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan anak mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
“Keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi keutamaan kita. Namun, setiap hari persekolahan juga mempunyai nilai yang besar terhadap perkembangan dan pembelajaran mereka.
“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya.
— BERNAMA


