JKDM Perak patahkan sindiket seludup arak bernilai lebih setengah juta

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama sebanyak 2,880 liter yang dianggarkan bernilai RM515,196 di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, dalam kejadian sekitar jam 1230 tengah hari sepasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu Perak telah melakukan serbuan di kawasan tersebut pada 28 Disember lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 2,880 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM 515,196 yang disyaki barang tak berkastam dan disimpan di dalam pelabuhan tersebut.

“Pada pemeriksaan itu, kita  turut menahan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun untuk membantu siasatan.

“Sehubungan itu, kes akan disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum dibawah peruntukan seksyen 135(1)(v)(aa).

“Bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM 100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM 500,000 yang mana yang lebih tinggi atau dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar memaklumkan, terdapat lambakan produk-produk terutamanya rokok, minuman keras yang dibawa masuk ke dalam Malaysia dan dijual secara berleluasa terutamanya dalam talian.

“Kita percaya masih terdapat produk-produk yang tak berkastam lolos masuk ke dalam negara dan kita akan terus berusaha membanteras pengimportan produk-produk secara haram ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cubaan seludup minuman keras, rokok putih bernilai RM1 juta dipatahkan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI