Cubaan seludup minuman keras, rokok putih bernilai RM1 juta dipatahkan

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras, rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai hampir RM1 juta di tiga lokasi berasingan di Perak dan Johor, pada minggu lalu.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Chemor, dekat ini, pada jam 9.20 malam, Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya berjaya menemukan 646,800 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan nilai cukai dianggarkan berjumlah RM420,940.40.

“Kesemua barangan yang disimpan dalam rumah berkenaan disyaki belum memperoleh sebarang kelulusan daripada JKDM.

“Justeru, JKDM Perak sedang mengesan pemilik rumah berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu pula melakukan serbuan kedua di sebuah premis di Gopeng sekitar jam 5 petang, Rabu lalu.

Abdul Ghafar berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,859.60 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM 57,276.08 disimpan di premis berkenaan.

Tambah beliau, seorang saksi warga tempatan berusia 22 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Selain itu, ujar Abdul Ghafar, Cawangan Penguatkuasaan JKDM sama turut melalukan serbuan ketiga di sebuah premis kediaman pada keesokkan harinya di Johor Bharu, Johor, sekitar ham 10.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menemukan 701,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM 469,802.40.

“JKDM Perak telah menahan dua orang tempatan berusia 34 dan 46 tahun untuk membantu siasatan,” jelasnya lagi.

Abdul Ghafar memaklumkan, ketiga-tiga kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen 135(1)(v)(aa). -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kastam Perak rampas rokok putih, kretek RM2.1 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI