Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun

MULA menunjukkan minat melukis sejak berusia lima tahun, pelukis buku Jom Terokai Sejarah Tahun 4 Bersama Si Sufi, Muhammad Sufi Sofian terus mengembangkan bakatnya dengan mencipta lukisan terbaharu seperti pelukis profesional.

Karakter pertama yang dihasilkan anak sulung daripada dua beradik itu adalah watak dirinya yang berpenampilan rambut pendek dan lurus.

Dia menterjemahkan karakter itu menerusi lukisan kerana di dunia realiti dia mempunyai rambut kerinting.

Pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II yang mesra disapa Sufi, gemar membaca komik dan mengagumi hasil karya kartunis terkenal negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai Datuk Lat.

Pelukis cilik ini juga bertuah kerana dapat bertemu secara bersemuka dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan idolanya, Datuk Lat pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh akhir Julai lalu.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun
Lukisan ‘Tourism Perak’ hasil pelukis cilik, Muhammad Sufi Sofian, 11, ketika tinjauan lensa MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 Bersama Si Sufi komik berbentuk ilmiah

Rentetan itu, Sufi bersama ibu dan gurunya mendapat idea untuk menghasilkan komik berbentuk ilmiah bagi membantu rakan-rakan sekolah memahami sejarah dengan lebih mudah, ringkas dan padat.

“Subjek Sejarah adalah mata pelajaran wajib lulus dan agak sukar untuk menghafal. Jadi, saya mula buat nota bila nak menduduki ujian dengan dibantu mak tetapi bila dah besar saya buat nota sendiri.

“Ibu dan guru banyak memberi idea untuk menghasilkan buku ini dan saya melukis diri sendiri sebagai watak utama. Buku sejarah ini siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan sewaktu cuti sekolah tahun lalu.

“Selepas ini, Jom Teroka Sejarah Tahun 5 akan dihasilkan dalam masa terdekat tetapi sekarang musim peperiksaan dan saya akan tumpu perhatian terhadap pelajaran terlebih dahulu walaupun idea sudah ada,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun
Suasana sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

‘Sayang’ nak jual hasil lukisan

Dalam pada itu, Sufi berkata, dia berhasrat untuk membuat buku kompilasi yang menyimpan semua koleksi hasil lukisannya termasuk yang dilukis di dalam iPad pada masa hadapan.

“Saya tak nak jual (hasil karya) sebab saya rasa macam tak berbaloi untuk jual. Sebab idea untuk melukis datang sekali sahaja dan untuk buat balik tidak akan sama seperti yang asal.

“Kesimpulannya, saya sayang kesemua hasil lukisan saya. Memang ada orang yang nak beli lukisan ‘original’ tetapi saya tak jual. Jadi tunggu buku kompilasi hasil lukisan saya,” jelasnya yang bercita-cita untuk menjadi pelukis profesional.

Lukisan kopi

Apabila ditanya mengenai karya yang paling dekat di hatinya, Sufi berkata, lukisan itu berkisar tentang mimpi dia bersama keluarga yang diterjemahkan melalui medium kopi.

“Ada satu hari, saya bermimpi tentang ahli keluarga saya. Kemudian, saya menggunakan medium kopi untuk melukis semula gambaran mimpi itu.

“Lukisan itu juga mengimbau kenangan paling pahit yang saya tidak dapat lupakan sewaktu ayah meninggal dunia dan kopi pula adalah minuman kesukaan arwah,” katanya.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun
Pelukis cilik, Muhammad Sufi Sofian, 11, menunjukkan koleksi lukisan miliknya ketika tinjauan lensa MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Jangan putus asa, terus asah bakat

Walaupun bergelar anak yatim pada usia muda, Sufi tidak pernah patah semangat dan terus melukis serta memperbaiki hasil lukisannya supaya menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

“Kepada rakan-rakan yang mempunyai minat dalam apa jua bidang sekali pun, jangan mudah putus asa. Sentiasa cari jalan mencungkil bakat sendiri untuk orang lihat.

“Bakat akan terbiar kalau tidak diasah dan dikembangkan,“ nasihatnya ringkas.

Sekolah kesan bakat Sufi menerusi The Journey of Art

Sementara itu, Guru Besar SK Sultan Idris II, Mohamad Ridzuan Hasnan berkata, bakat Sufi mula dihidu oleh pihak sekolah selepas dia terpilih antara 50 murid terbaik menerusi pencarian bakat The Journey of Art yang diadakan pada awal tahun lalu.

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai kebitaraan tersendiri dalam bidang seni antaranya seni angklung, seni tari dan beliau melihat terdapat satu lagi ruang dalam bidang seni visual yang perlu diketengahkan dalam pendidikan anak-anak ke arah aspek kemenjadian murid.

“Menerusi penilaian yang dibuat dan program yang telah disusun atur, Alhamdulillah kita telah melihat beberapa watak utama khususnya anak-anak yang berjaya kita ketengahkan bakat dan paling menonjol adalah Sufi.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun
Wartawan MG Perak, Rosdalilah Zahari menemubual Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Mohammad Ridzuan Hasnan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Sebenarnya kita ada banyak lagi bakat yang hebat tetapi Sufi ini kita melihat bahawa perkembangannya sangat cepat.

“Program The Journey of Art bermula dari 2023 hingga 2026 dan kita menyasarkan tempoh tiga tahun untuk kita melihat hasil tetapi ALLAH SWT mempemudahkan urusan dan menampakkan hasil pertama Sufi,” ujarnya.

Beliau berkata, guru antara yang berperanan mencari bakat hebat di sekolah untuk diketengahkan dan melihat bidang seni visual mempunyai potensi besar pada masa depan.

“Di belakang murid sudah pasti ada guru yang hebat membantu. InsyaALLAH, kita sasar Sufi akan berkembang dalam bidang seni dan akan disambut baik pada peringkat sekolah menengah. Kita menjangkakan satu ketika dia akan menjadi artis yang hebat,” katanya.

Bantu perluaskan Jom Terokai Sejarah Tahun 4

Mohamad Ridzuan memaklumkan penghasilan buku Jom Terokai Sejarah Tahun 4 adalah satu ‘end product’ kepada program The Journey of Art yang dijadikan bahan bukti apabila karya murid diterjemahkan dalam bentuk boleh dimanfaatkan oleh orang lain.

“Di peringkat Tahun Empat ada subjek Sejarah dan kita cuba untuk menarik minat murid keserasian dengan menggunakan pendekatan komik. Jadi kemahiran seni kita gabung dengan kandungan sejarah yang berdasarkan buku teks sejarah itu sendiri maka akhirnya tergabunglah hasil karya tersebut.

Jom Terokai Sejarah Tahun 4 bersama Si Sufi, hasil lukisan si cilik 10 tahun
Pelukis cilik, Muhammad Sufi Sofian, 11, menunjukkan koleksi lukisan miliknya ketika tinjauan lensa MG Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Sufi melukis dan menterjemahkan semua isi kandungan dalam buku teks dalam bentuk nota ringkas supaya murid lain dapat melihat dan memahami fakta sejarah dengan lebih mudah.

“Bagi pihak sekolah kita memainkan peranan penting dari sudut penulisan Sufi. Di samping itu pihak sekolah membantu dari segi penapisan kandungan.

“Kita ada panel yang terdiri daripada Pegawai Pendidikan Daerah, guru dan pakar daripada dalam daerah Kuala Kangsar serta kita telah menilai kandungan dari segi penampilan serta hasil karya itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, buku tersebut melalui penapisan yang ketat supaya memperoleh manfaat oleh semua pihak bila dicetak. – MG Perak

Video:

MGPerak : Jom Terokai Sejarah Tahun 4 Bersama Si Sufi, Hasil Lukisan Si Cilik 10 Tahun

MGPerak : Jom Terokai Sejarah Tahun 4 Bersama Si Sufi, Hasil Lukisan Si Cilik 10 Tahun

Artikel Berkaitan:

Mula dari minat, Ngopdul kini semakin berkembang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI