Mula dari minat, Ngopdul kini semakin berkembang

MOHAMAD Syafiq Saad tidak menyangka minatnya terhadap kopi akhirnya menjadi punca rezeki yang kini semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Anak jati Ipoh berusia 34 itu memberitahu wabak Covid-19 yang melanda negara sebelum ini menjadi titik perubahan dalam hidupnya untuk mengusahakan perniagaan kopi melalui jenama Ngopdul Coffee and Roastery atau Ngopdul.

Lepasan Diploma Mekanikal dari Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) itu berkata, dia mengasaskan perniagaan itu dengan bermula di sebuah kios kecil di Pekan Razaki, Ipoh.

Antara cawangan Ngopdul Coffee di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

 

Kopi Ngopdul perniagaan Mohamad Syafiq jenama perak ipoh kedai cawangan produk biji proses
Pengusaha Ngopdul Coffee and Roastery, Mohamad Syafiq Saad menunjukkan proses membuat air kopi ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

“Saya minat minum dan hendak tahu lebih lanjut tentang proses di sebalik penghasilan secawan kopi. Ia termasuk dari penanaman pokok, memanggang, sehingga ia sedia untuk diminum.

“Pendedahan tentang kopi ini saya peroleh daripada latihan yang saya sertai iaitu kursus ‘Specialty Coffee Association’ (SCA) di Discover Coffee, Damansara, Selangor.

“Di samping itu, saya juga mempelajari kaedah penghasilan pelbagai kopi melalui YouTube dan kenalan yang mahir tentang kopi,” katanya ketika ditemui MG Perak di Ngopdul Roastery di Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh, baru-baru ini.

Kopi Ngopdul perniagaan Mohamad Syafiq jenama perak ipoh kedai cawangan produk biji proses
Pekerja mengumpul biji kopi yang selesai dipanggang ketika tinjauan MG Perak di Ngopdul Coffee and Roastery, Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

Menurut Mohamad Syafiq, dia memulakan perniagaan Ngopdul dengan modal pemula sebanyak RM15,000 yang mana ia sepenuhnya dibiayai sendiri.

Katanya, nama Ngopdul diinspirasikan ketika dia berkunjung ke sebuah kedai kopi semasa melancong di Indonesia.

“Ketika itu, saya melihat nama kedai berkenaan dieja dengan nama ‘Ngopdule’. Dan daripada itu, saya terinspirasi untuk menamakan perniagaan saya dengan nama Ngopdul yang membawa maksud ‘ngopi (minum kopi) dahulu,” ujarnya.

Kopi Ngopdul perniagaan Mohamad Syafiq jenama perak ipoh kedai cawangan produk biji proses
Pengusaha Ngopdul Coffee and Roastery, Mohamad Syafiq Saad ketika ditemui MG Perak di Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

 

Pembukaan kilang

Mohamad Syafiq memberitahu, perniagaan jenama Ngopdul kini mempunyai empat cawangan kafe di Ipoh serta dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, kini Ngopdul mempunyai sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Paloh dan ia sudah mula beroperasi pada Oktober tahun lalu.

Kopi Ngopdul perniagaan Mohamad Syafiq jenama perak ipoh kedai cawangan produk biji proses
Pengusaha Ngopdul Coffee and Roastery, Mohamad Syafiq Saad memantau pekerjanya ketika proses membungkus biji kopi sebelum diedarkan ke semua cawangan Ngopdul Coffee di Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

Katanya, kilang yang menempatkan empat kakitangan itu berfungsi untuk memproses biji kopi termasuk memanggang dan membungkus sebelum diedarkan ke semua cawangan.

Malah ujarnya, premis Ngopdul Roastery itu juga membekalkan biji kopi yang sudah diproses kepada lebih 10 pengusaha kafe dan kedai kopi lain seperti di Ipoh, Tanjung Malim, Johor, Terengganu, Kedah serta Kuala Lumpur.

Kopi Ngopdul perniagaan Mohamad Syafiq jenama perak ipoh kedai cawangan produk biji proses
Biji kopi yang selesai dipanggang ketika tinjauan MG Perak di Ngopdul Coffee and Roastery, Kawasan Perindustrian Paloh, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

Di samping itu tambahnya, perniagaannya juga pernah mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) iaitu pinjaman tanpa faedah bagi pembelian kelengkapan di kafe.

“Ngopdul juga mendapat Bimbingan daripada Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) dalam memudahkan kami memperoleh Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab (MeSTI) dan pensijilan halal.

“Langkah ini juga sebahagian daripada perancangan masa hadapan kami untuk menghasilkan produk kopi secara besar-besaran agar mampu dibekalkan kepada syarikat-syarikat korporat,” katanya lagi.

Pekerja mencorakkan permukaan air kopi di Ngopdul Coffee, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

 

Kopi Perak

Mohamad Syafiq berkata, isu boikot yang masih berjalan dalam kalangan masyarakat ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada pengusaha kopi tempatan seperti Ngopdul.

Katanya, ia juga menjadi cabaran buatnya untuk memastikan perniagaan itu kekal relevan dan mampu bertahan mengikut peredaran serta kemahuan pelanggan semasa.

Pekerja sibuk menyiapkan air kopi pelanggan di Ngopdul Coffee, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

Mohamad Syafiq memberitahu ketika ini Ngopdul sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri dalam membangunkan projek ‘Kopi Perak’.

“Projek itu melibatkan tanaman biji kopi jenis Liberica yang mana kita mahu membantu pengusaha kopi di Perak untuk membeli hasil tanaman mereka.

Pelanggan tidak melepaskan peluang merasai air kopi Ngopdul Coffee di Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 OGOS 2024.

“Dan saya difahamkan ia akan diumumkan lanjut pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 September nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Syafiq berkata, dia merancang agar pada masa hadapan Ngopdul dapat menyediakan platform atau kursus berkenaan pengetahuan kopi kepada sesiapa yang ingin menjinak-jinakkan diri dalam perniagaan berasaskan minuman itu.

“Selain mempelbagaikan produk kopi, kami mahu suatu hari nanti orang akan kenal Ngopdul apabila bercakap tentang Negeri Perak,” katanya lagi. – MG Perak

Video:

MGPerak: Mula Dari Minat, Ngopdul Kini Semakin Berkembang

MGPerak: Mula Dari Minat, Ngopdul Kini Semakin Berkembang

Artikel Berkaitan:

Groovy Coffee tampil konsep retro 80-an

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI