IPOH – Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintenden Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik memangku jawatan Ketua JSJK Perak menggantikan Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang bersara wajib selepas berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini hari ini.
Mohd Fahmi menyertai PDRM pada 14 September 1986 sebagai Inspektor Percubaan dan akan menamatkan perkhidmatan pada 17 Jun ini.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya memaklumkan telah menyaksikan pelbagai perubahan selepas hampir empat dekad berkhidmat dengan PDRM.
“Sepanjang empat dekad ini, saya telah menyaksikan perubahan zaman, perubahan kepimpinan dan perubahan cabaran keselamatan negara, namun satu nilai yang tidak boleh berubah ialah integriti yang berteraskan fakta dan prinsip.
“Seperti mana-mana perjalanan yang panjang, khidmat ini bukan tanpa ujian. Ada ketika tanggungjawab terasa berat. Ada waktu kesabaran diuji. Ujian tidak mengukur pengiktirafan tetapi mengukur keteguhan.
“Dalam setiap keadaan tersebut, saya memilih untuk terus berkhidmat. Bukan kerana laluan itu mudah, tetapi kerana kesetiaan kepada tugas. Saya memilih untuk mempertahankan profesionalisme dan maruah serta berdiri teguh kepada prinsip,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana masih diberi ruang untuk terus menyumbang dan membuktikan bahawa komitmen terhadap pasukan sentiasa mengatasi segala cabaran yang dihadapi.
Pada masa sama, Mohd Fahmi turut merakamkan penghargaan dirakamkan kepada pegawai atasan, rakan seperjuangan, anggota bawahan serta rakan-rakan di luar pasukan yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan yang tidak pernah luntur.
“Kepada keluarga saya, terima kasih atas doa, kesabaran dan kekuatan yang menjadi benteng dalam setiap ujian,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


