JPJ keluarkan lebih 1,000 saman lori – Exco Perak

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 6,583 saman terhadap pelbagai jenis kesalahan dan kenderaan di seluruh Perak setakat bulan lalu.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,207 saman dikeluarkan ke atas kenderaan barangan dan lori yang dikesan melanggar undang-undang lalu lintas.

Katanya, JPJ Perak melaksanakan tiga kaedah sebagai usaha menguatkuasakan undang-undang jalan raya iaitu rondaan menggunakan kenderaan JPJ, rondaan kenderaan tanpa logo JPJ, serta penyamaran.

“Tindakan berat dan setimpal akan diambil menggunakan peruntukan undang-undang melalui pertuduhan di mahkamah.

“JPJ juga akan mengambil tindakan membatalkan lesen kenderaan barangan (GDL), kenderaan awam (PSV), dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) terhadap pemandu dan pemilik kenderaan.

“Ia sekiranya mereka terus degil atau ‘biot’ melanggar peraturan undang-undang jalan raya yang seterusnya boleh membahayakan nyawa pengguna yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Mohamad Nizar berkata, JPJ tidak akan berkompromi selain  tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang kepada mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketika menjawab soalan tambahan berkaitan penguatkusaan JPJ di Jalan Changkat Lobak ke simpang keluar Plaza Tol Alor Pangsu, Mohammad Nizar menjelaskan laluan tersebut antara kawasan yang berada dalam pemantauan JPJ Perak.

Bagaimanapun jelas beliau, selain pemantauan oleh pihak berkuasa, orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasa.

“Kalau orang kampung melihat ‘gergasi’ (kenderaan berat) lalu-lalang di situ, ambil gambar beserta nombor kenderaan dan hantar segera ke JPJ.

“Agensi penguatkuasaa itu akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pandu lebih had laju catat jumlah tertinggi – JPJ

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI