IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan kutipan hasil kompaun RM30.68 juta hasil pelaksanaan tawaran diskaun saman sebanyak 50 peratus, antara 1 November hingga 30 Disember tahun lalu.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun 2025 itu menunjukkan peningkatan berbanding RM25.8 juta sebelum ini.

Menurutnya, hasil kutipan kompaun itu antara penyumbang kepada peningkatan 10.4 peratus hasil kutipan JPJ Perak iaitu sebanyak RM239.74 juta pada tahun lalu berbanding RM217.13 juta pada tahun sebelumnya.
“Bagi kutipan kompaun melalui diskaun saman 50 peratus yang ditawarkan, JPJ Negeri Perak pada tahun lalu telah mencatat kutipan sebanyak RM30,680,983 berbanding RM25,875,560 pada tahun 2024.
“Bagaimanapun, pada tahun lepas jumlah notis P22 telah menurun kepada 129,120 berbanding pada 2024 sebanyak 130,748 iaitu sebanyak 1,628 atau 1.3 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau Operasi Pengarah JPJ 2026 di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini, pada Khamis.
Selain itu Mohammad Yusoff berkata, hasil Ops Barang Lebih Muatan yang dijalankan di negeri ini turut menunjukkan kesan positif.

Menurut beliau, secara umumnya pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu dan pengusaha lori dilaporkan pada tahap yang amat menggalakkan.
“Secara keseluruhannya, operasi yang diadakan sepanjang tahun lalu berjaya mempengaruhi tingkah laku dan sikap pengguna jalan raya kepada lebih baik.
“Kita mahu tahu mereka patuh atau tidak, lihat bilangan notis atau saman yang dikeluarkan sama ada bertambah atau berkurangan,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPJ Perak tahan lori sawit bawa lebih muatan 20 tan


