JPJ Perak tahan 190 kenderaan mewah tiada insurans, cukai jalan

IPOH – Sebanyak 190 kenderaan mewah ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak kerana dipercayai gagal memiliki perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Ogos tahun ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan itu diambil terhadap pemilik kenderaan yang didapati mampu memiliki kenderaan mewah, namun gagal menyediakan perlindungan insurans serta cukai jalan yang diwajibkan bagi kegunaan di jalan raya.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 121 kenderaan sudah dilepaskan, manakala 69 lagi masih disimpan di depot JPJ di beberapa cawangan negeri.

“Kalau kita lihat kenderaan mewah ini, mereka mampu membeli kenderaan mewah tetapi tidak mampu untuk membeli perlindungan insurans dan juga cukai jalan.

“Kita rasakan mereka cuba mengambil tindakan mengelakkan mematuhi peraturan memiliki insurans dan cukai jalan semasa berada di jalan raya,” katanya pada sesi sidang media berkenaan Op Ekstrem dan Op Luxury JPJ Perak di JPJ Negeri Perak, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, daripada 69 kenderaan yang masih berada di depot JPJ Perak, sebanyak 25 daripadanya ditempatkan di cawangan Ipoh, manakala selebihnya di beberapa cawangan lain.

Katanya, pemilik kenderaan tidak seharusnya mengambil mudah kewajipan memiliki insurans dan cukai jalan yang sah kerana ia membabitkan hak serta kepentingan pengguna jalan raya lain.

“Ketiadaan insurans menyebabkan mangsa yang dilanggar atau terbabit dalam kemalangan dinafikan haknya sebagai pengguna jalan raya.

“Antaranya, mereka tidak boleh mendapat tuntutan yang sepatutnya mereka boleh dapat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kenderaan mewah yang digunakan tanpa perlindungan insurans sebagai satu risiko besar kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

“Kita ibaratkan kenderaan besar atau mewah tanpa insurans seperti senjata yang tajam tanpa sarung. Kenderaan itu besar, boleh melanggar orang dan menyebabkan kecederaan malah kematian,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI