JPJ Perak sedia 20,000 slip pembaharuan LMM sebagai permulaan

IPOH –  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menyediakan 20,000 slip pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi tempoh seminggu dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan slip pembaharuan LMM ini baru bermula minggu ini di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan JPJ Ipoh yang akan disusuli cawangan-cawangan lain dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, slip pembaharuan itu adalah cetakan fizikal LMM bagi pemandu yang masih belum bersedia ke arah pendigitalan sepanjang tempoh interim 2024.

Menurutnya, setakat ini sudah tujuh negeri termasuk Perak melaksanakannya iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, slip pembaharuan LMM hanya melibatkan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) sahaja.

“Kita akan melaksanakannya secara berperingkat kerana kad fizikal LMM yang lama masih ada di beberapa cawangan. Justeru, kita mengambil pendekatan untuk terus mencetak kad fizikal yang ada sehingga habis.

“Selepas habis, kita akan gantikan dengan slip pembaharuan. Seluruh negara dijangka akan mengantikan kad fizikal LMM dengan slip pembaharuan pada Februari depan,” katanya pada sidang media di UTC Perak, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Aedy berkata, tinjauan pelaksanaan slip pembaharuan LMM pada hari ini juga mendapati cetakan di kaunter JPJ berjalan lancar dan orang awam sudah mula menerima slip tersebut.

“Berdasarkan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun lepas, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat.

“JPJ juga sentiasa menghargai sokongan daripada pelbagai pihak dalam pelaksanaan pendigitalan. Saya menyeru supaya masyarakat bersama-sama kami untuk menjayakan pendigitalan JPJ,” katanya.

Sementara itu, Aedy berkata, JPJ seluruh negara dalam proses mengganti dan menambah peralatan baru yang lebih berteknologi tahun ini bagi tujuan penguatkuasaan.

Katanya, proses itu dilakukan secara berperingkat di seluruh negara sebagai menyokong inisiatif pendigitalan terutama melibatkan pemeriksaan lesen.

“Contohnya kalau melibatkan pemeriksaan lesen, di peringkat JPJ kita gunakan unit Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) untuk menyemak maklumat secara dalam talian, jadi kita akan ganti peralatan-peralatan lama ini dan beli baru,” katanya.

Pada 10 Februari tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa cukai jalan dan lesen memandu boleh diakses secara atas talian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Scammer guna sosial media iklan lesen memandu murah – JPJ

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI