Jurujual wanita mengaku tidak bersalah jual ‘android box’

IPOH: Seorang jurujual wanita di kedai aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menjual peranti ‘android box’, tahun lalu.

Tertuduh, Lau Xiao Tong, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Mengikut pertuduhan, jurujual wanita itu didapati telah menjual satu unit kelengkapan komunikasi android box jenama SVI 8S SN: 61604230804963 di sebuah kedai aksesori telefon di Medan Bercham Selatan 1, Ipoh pada pukul 1.10 petang, 18 Oktober 2023.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 43AA (1)(c) Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 43AA (2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Terdahulu, Muhammad Haiqal mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh namun Dayang Nor Emilia memohon agar anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan jumlah minimum atas alasan berpendapatan bulanan RM1,600 selain menanggung kedua ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan esok untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar wang ikat jamin berkenaan. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI