Kad Fleet: KPDN, syarikat minyak bermesyuarat Khamis

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat bersama lima syarikat minyak utama Khamis depan untuk mencari mekanisme terbaik bagi menyegerakan proses pengeluaran kad fleet (fleet card) di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pada mesyuarat tersebut kelima-lima syarikat minyak terbabit akan membentang dan mengemukakan mekanisme mereka untuk mempercepatkan lagi proses berkenaan.

Menurutnya, isu kelewatan kad fleet timbul apabila sesebuah syarikat memohon kad tersebut secara pasca bayar (post paid).

Bagaimanapun, beliau berkata, jika permohonan kad fleet prabayar (prepaid) tidak timbul isu besar kerana pihaknya boleh mengeluarkan kad berkenaan dengan segera.

“Sekiranya sesebuah syarikat memohon (kad fleet) secara post paid pastinya syarikat minyak perlu untuk melihat kepada dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya.

“Jadi, ia mengambil sedikit masa, itu yang ada sedikit backlog (tertunggak) dari segi pengeluaran kad.

“Kalau dulu pada asalnya (proses kad fleet) mengambil masa sehingga satu bulan atau lebih tetapi ada syarikat minyak yang telah  boleh mengeluarkan kurang daripada 10 hari tetapi kita mahukan supaya mekanisme pengeluaran (kad fleet) ini dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada  Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam pada itu, Armizan berkata, sehingga 8 Julai lalu, sebanyak 165,897 kad fleet telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang memohon.

Sementara itu, Armizan berkata, setakat 13 Julai lalu sebanyak 248,887 kenderaan mewakili 88,029 syarikat di bawah 33 jenis pengangkutan mendapat kelulusan di bawah SKDS. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati pengguna terpilih – MOF

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI