Kadar air Perak diumumkan selepas Aidilfitri – Saarani

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan mengumumkan kadar baharu tarif air selepas perayaan Aidilfitri, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pengerusi Lembaga Air Perak (LAP) itu berkata, ia bagi memberi laluan kepada rakyat di negeri ini meraikan Hari Raya Aidilfitri terlebih dahulu.

Menurut Saarani, kadar baharu tersebut telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) di sini, pada Selasa.

“Kadar dah ada dan kita akan umumkan selepas Aidilfitri kerana kita nak bagi orang beraya dengan seronoknya.

“Kadar baharu air di Perak ini tidak adalah beban sangat cuma kerajaan negeri hendak bagi orang jangan rungsing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT), Jabatan Pertanian Negeri Perak 2024 di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Pada 1 Februari lalu, Saarani dilapor berkata, kadar kenaikan tarif itu akan diumumkan pada bulan ini iaitu selepas Lembaga Pengarah LAP selesai bermesyuarat pada 1 Mac, disusuli ketetapan menerusi Mesyuarat EXCO pada Rabu selepas itu iaitu pada 6 Mac.

Saarani berkata, kenaikan tarif perlu memandangkan peluang pelarasan sebagaimana diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) biasanya dibuat dalam jangka masa sangat panjang.

Berdasarkan semakan di laman rasmi Lembaga Air Perak, tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak ketika ini ialah RM0.30 bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m3), RM0.70 (11-20m3) dan RM1.03 (lebih 20m3).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Saarani berkata, permohonan bagi menyelesaikan masalah banjir di empat lokasi melibatkan tiga daerah di Perak akan dimasukan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kalau ikutkan komitmen Kerajaan Persekutuan mereka akan beri bantuan dan semua akan disegerakan kerana ia satu keperluan,” jawabnya ringkas.

Saarani pada Isnin berkata Kerajaan Negeri Perak memerlukan bantuan dana daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM640 juta bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak belum putuskan kenaikan tarif air – Saarani

Perak perlu RM640 juta laksana rancangan tebatan banjir

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI