LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan rasuah, termasuk yang melibatkan mereka dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, ketegasan terhadap isu integriti dan tadbir urus menjadi keutamaan pentadbirannya, tanpa mengira latar belakang politik atau jawatan seseorang.
“Jadi saya minta kawan-kawan faham hal ini, yang penting dalam kerajaan ini, saya tidak akan bertolak ansur.
“Tatakelola mesti betul. Bagi-bagi projek tanpa tender mesti dihentikan. Yang sakau sana, sakau sini, tak boleh.
“Kalau betul curi, tangkap. Saya tak halang. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) geledah habis.
“Tangkaplah hari-hari, saya tak peduli. Nak tangkap orang kerajaan perpaduan? Silakan. Nak tangkap orang pembangkang? Silakan. Nak tangkap yang dah pencen, yang banyak cakap pun, silakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa kekayaan negara yang dicuri mesti dipulangkan demi kepentingan rakyat.
“Kalau betul dia curi, tangkap. Kalau dia curi, kita tak boleh kesian. Wang yang dia ambil itu wang rakyat. Kena pulangkan. Kalau tidak, bagaimana saya nak baiki sekolah?
“Kalau dia berniaga secara betul, jangan kita zalim. Tapi kalau bukan hak dia dan dia rampas, kita tak boleh biarkan,” jelasnya.
Tambah beliau, keampunan secara peribadi boleh diberikan, namun bukan terhadap kesalahan merompak harta negara.
“Saya ingat lagi dari dulu saya cakap, kamu terajang aku, kamu pukul aku setengah mati, kamu penjarakan aku, kamu hina aku dan keluarga aku… sudahlah. Sekarang saya dah jadi Perdana Menteri, aku maafkan semua.
“Tetapi kamu curi harta rakyat, harta negara, itu bukan hak aku untuk maafkan. Kamu kena bagi balik. Saya akan kutip balik siapa saja yang curi dari negara ini. Itu dasar kita.
“Jadi saya harap semua beri kerjasama supaya kita dapat teruskan kerja dengan baik,” ujar. – MG Perak
Artikel Berkaitan: