LARUT – Pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara memberi impak positif sama ada dari sudut kesejahteraan mahupun sosioeknomi penduduk di Kampung Masjid, Ijok di Selama dekat sini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, projek penyelengaraan ke atas sistem saliran dan Sungai Ijok dilihat berjaya menangani masalah banjir.
Katanya, usaha itu dilihat memberi manfaat besar kepada penduduk kampung serta menjadi langkah penting dalam mengurangkan risiko jangka panjang bencana itu.
“Baru-baru ini banyak tempat terjejas banjir akibat daripada perubahan cuaca ekstrem, namun di sini masalah itu berjaya ditangani.
“Insiden banjir kilat yang sebelum ini menjejaskan sekolah, rumah dan masjid tidak lagi berlaku selepas inisiatif Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara menaik taraf sistem saliran di Sungai Ijok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemberita selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara di Kampung Masjid, Ijok, dekat sini, pada Ahad.
Majlis dirasmikan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Kementerian Kewangan menyalurkan RM2.5 juta bagi 10 projek melalui inisiatif Kampung Angkat Madani Jabatan Audit Negara di Kampung Masjid.
Antara projek lain yang telah siap dilaksanakan adalah pembinaan dewan terbuka sekolah, pemasangan lampu solar serta menaik taraf kemudahan di masjid dan fasiliti awam seperti ruang perniagaan, gelanggang futsal, dan taman permainan.
Mengulas lanjut Mohd Zolkafly memberitahu, inisiatif Kampung Angkat Madani dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioeknomi penduduk setempat.
Tambah beliau, ia juga secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor ekopelancongan kerana Kampung Masjid berhampiran dengan kawasan rekreasi air terjun iaitu dua daripada Tujuh Lata Selama, Lata Puteh dan Lata Titi Dua.
Terdahulu ketika berucap mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis Mohd Zolkafly berkata, Program Kampung Angkat Madani mencerminkan visi besar dalam memastikan pembangunan bersifat inklusif dan tidak meminggirkan masyarakat luar bandar.
“Setiap usaha adalah untuk memberi peluang kepada setiap kampung agar dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur yang setanding dengan kawasan bandar.
“Dalam usaha ini, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting. Melalui sinergi ini, kita dapat memastikan setiap projek pembangunan dapat dijalankan dengan lebih efisien serta memenuhi keperluan khusus di setiap kampung yang terpilih,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: